SAUDARA PENGARANG,
Pasaran halal kini menjadi salah satu sektor ekonomi yang paling pesat berkembang di dunia. Ia bukan sahaja memenuhi keperluan umat Islam, tetapi juga menarik perhatian pengguna bukan Muslim yang mengaitkan produk halal dengan kualiti, kebersihan dan etika alam perniagaan. Dalam konteks sosioekonomi, pasaran halal mencerminkan nilai-nilai Islam yang menekankan keadilan, kebersihan dan kesejahteraan masyarakat. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 168:
"Wahai manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu."
Ayat ini menjadi asas kepada konsep halal, yang bukan sahaja berkaitan dengan pematuhan syariah malah menekankan aspek kualiti dan kesejahteraan manusia.
Faktor Utama Pertumbuhan Pasaran Halal
Pertumbuhan pasaran halal didorong oleh pelbagai faktor sosioekonomi yang saling berkait. Antaranya ialah peningkatan populasi Muslim global, yang kini melebihi 1.9 bilion orang. Dengan pertumbuhan ini, permintaan terhadap produk halal seperti makanan, kosmetik, farmaseutikal dan pelancongan turut meningkat. Selain itu, kesedaran tentang gaya hidup halal semakin meluas, bukan sahaja dalam kalangan Muslim tetapi juga pengguna bukan Muslim yang melihat produk halal sebagai simbol kebersihan dan kualiti.
Sokongan kerajaan juga memainkan peranan penting. Negara-negara seperti Malaysia dan Indonesia telah menjadi hab utama dalam pensijilan halal. Manakala negara bukan majoriti Muslim seperti Jepun dan Korea Selatan turut melabur dalam infrastruktur halal untuk menarik pelancong Muslim. Globalisasi dan perdagangan antarabangsa juga membuka peluang untuk produk halal dipasarkan ke seluruh dunia. Pensijilan halal yang diiktiraf antarabangsa ini sekaligus meningkatkan keyakinan pengguna.
Selain itu, peningkatan kuasa beli pengguna Muslim di negara-negara seperti Asia Tenggara, Timur Tengah dan Afrika turut menyumbang kepada pertumbuhan pasaran halal ini. Perkembangan teknologi dan e-dagang memudahkan akses kepada produk halal, manakala pelancongan halal menjadi sektor yang semakin berkembang dengan penyediaan kemudahan mesra Muslim seperti makanan halal dan tempat solat.
Kesan Positif Pasaran Halal terhadap Ekonomi dan Masyarakat
Pasaran halal bukan sahaja memberi manfaat kepada ekonomi global tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan. Ia mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan negara melalui eksport dan sekaligus menyokong pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS). Dalam aspek sosial, pasaran halal mempromosikan nilai-nilai Islam seperti keadilan, kebersihan, dan kesejahteraan, yang memberi impak positif kepada masyarakat.
Sebagai contoh, industri halal sering dikaitkan dengan standard kebersihan dan kualiti yang tinggi, yang bukan sahaja memenuhi keperluan syariah tetapi juga meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk tersebut. Ini menjadikan produk halal sebagai pilihan utama bukan sahaja dalam kalangan Muslim tetapi juga pengguna bukan Muslim yang mementingkan kesihatan dan keselamatan.
Cabaran dan Potensi Masa Depan Pasaran Halal
Walaupun pasaran halal mempunyai potensi besar, ia juga menghadapi pelbagai cabaran. Antaranya ialah kekurangan standard pensijilan halal yang seragam di peringkat global, yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna dan pengeluar. Selain itu, persaingan dalam pasaran global memerlukan inovasi dan pelaburan yang berterusan untuk memastikan produk halal kekal relevan dan kompetitif.
Namun, dengan sokongan teknologi dan peningkatan kesedaran global tentang kepentingan produk halal, pasaran ini mempunyai potensi besar untuk terus berkembang. Pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kerjasama antara negara-negara Islam dan bukan Islam boleh membantu mengatasi cabaran ini dan memperkukuhkan kedudukan pasaran halal di peringkat global.
Pasaran halal bukan sekadar memenuhi keperluan umat Islam tetapi juga mencerminkan nilai-nilai Islam yang relevan dalam konteks ekonomi global. Ia mempromosikan keadilan, kebersihan dan kesejahteraan, yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat. Dengan sokongan kerajaan, teknologi dan kesedaran menyeluruh, pasaran halal mempunyai potensi besar untuk terus berkembang dan menjadi pemacu utama ekonomi global.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Norziah Othman
Pensyarah kanan
Jabatan Sains Kuantitatif, Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor.
Puan Nor Suhaily Bakar
Pensyarah
Jabatan Perakaunan di Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor.