SAUDARA PENGARANG
Sejak kebelakangan ini, isu buli kembali hangat diperkatakan di Malaysia, khususnya melibatkan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT). Isu ini bukanlah baharu. Saban tahun ada sahaja pelajar baharu yang menjadi mangsa sama ada melalui ejekan, hukuman tidak munasabah, atau penderaan emosi yang meninggalkan kesan jangka panjang. Sebahagian besar insiden ini berlaku ketika program orientasi pelajar baharu, sama ada di sekolah berasrama, mahupun IPT.
Program orientasi, yang sepatutnya menjadi pintu masuk mesra untuk membantu pelajar menyesuaikan diri, bertukar menjadi pengalaman ngeri bagi pelajar yang sedang melangkah ke fasa kehidupan baru. Denda, tekanan, dan penghinaan sering dibungkus dengan alasan kononnya untuk melatih ketahanan mental atau mengeratkan hubungan.
Dari sudut teori psikologi pendidikan, memang benar hukuman merupakan salah satu strategi behaviourisme yang boleh mengubah tingkah laku dalam jangka pendek. Namun, jika dilaksanakan keterlaluan dan tanpa konteks yang munasabah, ia bukan sahaja gagal mendidik, tetapi menjadi buli sistemik yang diberi konotasi positif untuk menjustifikasi dominasi dan merendahkan junior.
Akibatnya, orientasi yang sepatutnya inklusif berubah menjadi pentas hierarki toksik, mewariskan trauma, kebencian, dan mematahkan semangat pelajar dari satu generasi ke generasi lain. Lebih serius, ia mencalarkan imej institusi pendidikan sebagai tempat yang sepatutnya selamat dan inklusif.
Bagaimana kita mahu melahirkan generasi yang mampu menangani isu besar dunia seperti perubahan iklim atau ketidaksamaan sosial, jika ruang belajar mereka sendiri masih dipenuhi budaya buli yang dianggap normal?
Lebih membimbangkan, budaya sebegini didapati masih berlaku dalam beberapa program orientasi pelajar baharu baru-baru ini. Situasi ini menunjukkan walaupun isu buli sering sedang menjadi perhatian media, solidariti di platform sosial, dan komitmen pihak berautoriti, hakikatnya tidak banyak berubah.
September–Oktober Kayu Ukur Perubahan
Di sinilah harapan besar diletakkan terhadap sesi orientasi yang bakal berlangsung pada bulan September dan Oktober ini yang merupakan tempoh kemasukan kohort pelajar baharu seterusnya di IPT. Inilah masa paling kritikal untuk membuktikan sama ada IPT benar-benar tekad melakukan perubahan drastik.
Jika tidak, budaya lapuk ini akan terus berjangkit ke program orientasi sekolah pada tahun hadapan. Solidariti masyarakat di media sosial perlu diterjemahkan kepada dasar dan amalan konkrit. Program orientasi seharusnya mengangkat maksud yang lebih mendalam.
Apa yang sepatutnya diberi tumpuan? Pertama, pelajar baharu perlu didedahkan dengan maklumat asas tentang kampus. Misalnya, lokasi fakulti, perpustakaan, pusat kesihatan, dewan kuliah, pejabat pentadbiran, dan kemudahan-kemudahan lain. Maklumat sebegini sangat penting untuk membantu mereka menguruskan kehidupan seharian secara berdikari, tanpa perlu terlalu bergantung kepada rakan atau warden.
Kedua, program orientasi juga boleh menjadi wadah memperkenalkan pelajar kepada peraturan kampus, sistem akademik, serta pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan. Contohnya, sistem pembelajaran digital, kaunseling, bantuan kewangan, dan juga aktiviti kokurikulum. Semua ini adalah maklumat asas yang sangat diperlukan, tetapi malangnya sering tidak diberikan penekanan secukupnya.
Ketiga, perketat pemantauan orientasi secara proaktif, menggubal garis panduan yang menekankan kesejahteraan serta maruah pelajar, dan menyediakan sistem laporan selamat tanpa stigma atau risiko balas dendam.
Pengajaran dari Negara Luar
Negara seperti Australia dan United Kingdom sudah lama memperkenalkan kod etika pelajar yang menjadikan keselamatan dan maruah pelajar sebagai teras orientasi, bukan adat yang mengaibkan. Banyak universiti di sana menjadikan minggu orientasi sebagai ruang integrasi komuniti sama ada melalui projek khidmat masyarakat, kempen kesihatan mental, atau aktiviti sukarela.
Berdasarkan pengalaman di United Kingdom pula, minggu orientasi pelajar baharu berfokus kepada integrasi sosial dan akademik. Pelajar diberi peluang mencuba pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh kelab dan persatuan mengikut fokus utama masing-masing, seperti sukan, seni, debat, aktiviti kesukarelawanan, dan bengkel kemahiran hidup.
Dari situ, pelajar boleh memilih kelab atau persatuan yang sesuai dengan minat mereka. Pendekatan ini bukan sahaja membantu pelajar menyesuaikan diri, malah mendorong pembinaan komuniti yang inklusif dan menyokong.
Pendekatan sebegini boleh kita teladani. Bayangkan jika orientasi di sekolah dan IPT tempatan turut memberi peluang kepada pelajar baharu untuk merasai pengalaman sebenar aktiviti persatuan dan kelab. Ia bukan sahaja menyeronokkan, malah memberi pendedahan awal tentang kepelbagaian pilihan yang ada di kampus.
Selain itu, orientasi juga wajar disesuaikan dengan keperluan konteks setempat. Sebagai contoh, bagi sekolah dan IPT yang terletak di bandar besar seperti Kuala Lumpur, boleh memasukkan elemen pengenalan kepada sistem pengangkutan awam. Ramai pelajar baharu datang dari luar bandar dan tidak biasa dengan kehidupan kota. Ada yang tidak pernah tinggal di asrama sebelum ini, dan ibu bapa pastinya bimbang tentang kemampuan anak mereka untuk berdikari.
Mengubah Naratif Orientasi
Sudah tiba masanya kita mengubah naratif orientasi di Malaysia. Orientasi tidak boleh lagi sinonim dengan jeritan fasilitator, hukuman berlebihan, atau aktiviti “tradisi” yang sebenarnya menormalisasi buli. Ia mesti kembali kepada roh sebenar pendidikan, iaitu mendidik, mengalu-alukan, dan membentuk identiti pelajar sebagai warga akademik yang beretika, inklusif, dan bertanggungjawab.
Aktiviti yang menekankan kerjasama, kepimpinan, kesukarelawanan, dan nilai kemanusiaan harus menggantikan amalan lapuk. Kita mahu pelajar yang berani bersuara, aktif dalam komuniti kampus, dan mampu menyesuaikan diri dengan cabaran akademik serta kehidupan moden.
Harapan ini bukan retorik kosong. Ia lahir daripada desakan bahawa isu ini sudah berlarutan terlalu lama. Program orientasi dalam masa terdekat akan menjadi kayu ukur penting. Adakah kita sekadar berpuas hati dengan kecaman di media sosial, atau benar-benar ingin menyaksikan transformasi dalam pelaksanaan dan tindakan?
Jika kita gagal bertindak sekarang, kita sedang menghantar isyarat berbahaya kepada generasi muda bahawa buli boleh diterima walhal ia sepatutnya dihentikan serta-merta.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Sharifah Intan Sharina Syed Abdullah
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia
e-mel: