SAUDARA PENGARANG
"Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia serta keterangan-keterangan daripada petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil).” (Surah al-Baqarah ayat 185
Nuzul al-Quran atau penurunan al-Quran pada 17 Ramadan merupakan peristiwa agung dalam sejarah Islam, menandakan turunnya wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW melalui Malaikat Jibril di Gua Hira.
Maka menjadi amalan dituntut Islam, bertadarus al-Quran dalam bulan Ramadan; bulan penuh keberkatan dan kemuliaan. Perkataan ‘tadarus’ berasal daripada bahasa Arab, berakar daripada kata (darasa) yang bermaksud “mempelajari” atau “mengulangkaji”.
Dalam konteks ibadah, tadarus merujuk kepada pembacaan, pengkajian, dan pemahaman al-Quran secara bersama-sama, sering kali dalam bentuk kumpulan.
Tadarus Tauladan dari Rasulullah SAW
Amalan bertadarus ini bersandarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, bahawa setiap malam di bulan Ramadan, Baginda SAW bertadarus al-Quran bersama malaikat Jibril.
Ini menunjukkan kepentingan tadarus sebagai satu bentuk penghayatan terhadap wahyu Allah SWT, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang juga dikenali sebagai Syahrul Quran.
Tadarus al-Quran pada bulan Ramadan bukan sekadar membaca ayat-ayat suci, tetapi juga melibatkan pemahaman makna dan tafsirnya agar dapat diamalkan dalam kehidupan seharian.
Amalan ini membantu meningkatkan keimanan, memperkukuh hubungan dengan Allah SWT, serta memberi peluang kepada umat Islam untuk memperbaiki bacaan mereka melalui bimbingan dan pembetulan tajwid.
Selain manfaat spiritual, tadarus juga berperanan dalam mengukuhkan ukhuwah Islamiah. Aktiviti ini sering dilakukan secara berjemaah di masjid, surau, atau dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan.
Ia mencipta suasana kebersamaan yang mendorong individu untuk saling mengingatkan dan menyemarakkan kecintaan kepada kitab suci.
Ganjaran Membaca al-Quran
Dari sudut ganjaran, membaca al-Quran mempunyai kelebihan luar biasa. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda:
"Barang siapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (Al-Quran), maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan itu digandakan sepuluh kali lipat."
Maka, bayangkan betapa besar pahala bagi mereka yang memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan penuh rahmat ini. Bukan itu sahaja, tadarus al-Quran juga berperanan dalam melestarikan keilmuan Islam.
Dengan mengkaji makna ayat-ayat al-Quran dan berkongsi ilmu dalam sesi tadarus, masyarakat dapat memahami hukum-hakam Islam dengan lebih mendalam.
Ini seterusnya melahirkan individu yang bukan sahaja mahir dalam bacaan, tetapi juga berpegang teguh kepada ajaran Islam dalam kehidupan harian.
Dalam kebanyakan tradisi masyarakat Islam, majlis khatam al-Quran sering diadakan selepas 17 Ramadan. Hal ini kerana kebiasaannya pusingan pertama tadarus al-Quran secara berjemaah sudah selesai, setelah bermula dari awal Ramadan.
Ini juga memberi ruang kepada para jemaah untuk mengulang bacaan, mentadabbur, dan memperkukuhkan penghayatan terhadap ajaran al-Quran menjelang penghujung Ramadan.
Ringkasnya, amalan tadarus al-Quran sewajarnya terus diperkasakan setiap kali Ramadan tiba. Setiap Muslim digalakkan untuk meluangkan masa, walaupun sejenak untuk membaca dan menghayati kalamullah.
Semoga dengan memperbanyakkan tadarus al-Quran, kita dapat meraih keberkatan Ramadan serta mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Sahlawati Abu Bakar
Pensyarah/Ketua Program Ijazah Doktor Falsafah Islamiyyat
|Jabatan Al-Quran dan Al-Sunnah
Fakulti Pengajian Peradaban Islam
Universiti Islam Selangor