fb fb fb fb fb

Menyingkap formula perpaduan di sebalik larutan asid dan bes

Foto Hiasan / Bernama

SAUDARA PENGARANG

Tatkala memerhatikan para pelajar menjalankan eksperimen tindak balas antara asid dan bes di makmal, saya terfikir: bukankah tindak balas kimia ini mengajar kita sesuatu tentang perpaduan masyarakat majmuk?

Tindak balas peneutralan menghasilkan dua hasil utama iaitu air dan garam. Asid dan bes boleh diibaratkan sebagai rakyat pelbagai kaum, agama dan latar sosioekonomi, proses peneutralan pula seumpama keharmonian, manakala pembentukan molekul air melambangkan perpaduan yang terjalin. Jenis garam yang terbentuk mengekalkan identiti ion asal daripada asid dan bes, seolah-olah asimilasi kaum tidak memerlukan seseorang meninggalkan budaya dan agama masing-masing.

Sains mengajar kita bahawa daripada pelbagai unsur yang berbeza sifat dan kekuatan, akhirnya lahir keseimbangan baharu yang lebih stabil. Bukankah itu juga impian kita terhadap Malaysia – sebuah negara yang terus kukuh berdiri kerana keindahan perbezaan yang dirangkul sebagai kekuatan?

Namun bagi mencapai keseimbangan itu, formula campuran yang tepat amat penting. Dalam masyarakat berbilang kaum, formula kehidupan mestilah berteraskan hormat, menghargai perbezaan dan saling membantu.

Perpaduan tidak semestinya lahir dalam suasana ceria atau sambutan rasmi. Ada kalanya kita bersatu kerana takut terhadap ancaman, simpati pada penderitaan, atau marah pada kezaliman. Ada juga waktunya kita bersatu dalam keresahan ketika kebenaran belum terjawab. Semua emosi ini berbeza, tetapi bertemu pada benang halus yang sama: kesanggupan mengetepikan perbezaan demi tujuan yang lebih besar, seumpama ion-ion yang berganding mencapai kestabilan.

Ketika pandemik COVID-19 melanda, kita bersatu mematuhi arahan demi mengekang wabak. Barisan hadapan mengorbankan masa, NGO dan orang perseorangan tampil memberi bantuan tanpa soal. Tiada siapa menyoal agama atau bahasa ketika menghulur bantuan. Ketika ketakutan menyatukan kita, kemanusiaan menenggelamkan segala garis perbezaan.

Jika wabak menyatukan kita di saat cemas, tragedi kemalangan bas yang melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula memperlihatkan perpaduan di kala sedih. Kejadian meragut 15 nyawa itu menjadi salah satu nahas paling tragis. Rakyat tanpa mengira latar belakang tampil menghulur sumbangan dan doa. Namun di sebalik simpati, lahir kesedaran kolektif bahawa nyawa tidak boleh dikorbankan kerana kelemahan sistem.

Begitu juga dengan kes kematian Zara Qairina, yang menyatukan rakyat dalam keresahan. Misteri kehilangannya menimbulkan suara bersama menuntut penjelasan, mendesak siasatan telus, dan menegakkan keadilan.

Tidak dilupakan, video tular sekumpulan pempengaruh memberi nasi berisi tulang ayam kepada gelandangan semata-mata demi tontonan. Tindakan itu memperlihatkan keutamaan publisiti berbanding empati. Namun lebih signifikan ialah reaksi rakyat – warga maya mempertahankan maruah golongan gelandangan dan menegaskan kebajikan tidak boleh dijadikan bahan senda.

Semua episod ini selaras dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025: Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni. Ungkapan ini bukan sekadar slogan kerajaan, tetapi seruan untuk seluruh warga saling menyantuni, memahami, dan memanusiakan.

Menyantuni bukan sekadar memberi, tetapi menjiwai sensitiviti orang lain lalu menterjemahkannya dalam tindakan. Sifat ini ibarat pelarut yang meredakan ketegangan, melunturkan ego, dan memungkinkan tindak balas sosial yang lebih harmoni.

Sejarah pernah memberi amaran dengan cara paling pahit. Tragedi 13 Mei 1969 meragut ratusan nyawa, ribuan kehilangan tempat tinggal, dan melumpuhkan Kuala Lumpur di bawah darurat. Luka itu melahirkan kesedaran bahawa tiada siapa untung apabila perpecahan menguasai masyarakat.

Lebih setengah abad berlalu, peristiwa itu terus berpesan agar kesilapan tidak diulangi. Jalur Gemilang menjadi saksi penyatuan rakyat dalam suka dan duka. Maka insiden pemasangan bendera secara terbalik, yang malangnya berulang saban tahun, bukan perkara remeh. Ia menyinggung maruah bangsa. Jika dibiarkan, ia boleh menimbulkan salah faham dan meretakkan keharmonian.

Di sinilah pendidikan berperanan sebagai makmal sosial. Generasi muda harus diajar bahawa hormat bukan sahaja terhadap sesama manusia, tetapi juga terhadap lambang negara. Kepelbagaian perlu difahami sebagai kekuatan, bukan ancaman.

Jika generasi baharu menghayati hakikat ini, bangsa kita akan sentiasa mencari keseimbangan – sebagaimana ion-ion yang tidak pernah berhenti bergerak untuk mencapai kestabilan.

Inilah formula sebenar sebuah bangsa merdeka. Kemerdekaan sejati bukan sekadar pada usia negara, tetapi pada kemampuan rakyat mengekalkan keharmonian. Itulah warisan paling bernilai untuk generasi mendatang.

Kerana pada akhirnya, janji kemerdekaan ialah memastikan Malaysia terus kukuh berdiri, dipandu oleh keseimbangan, disatukan oleh kepelbagaian.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

CHE MOHD FARHAN
Che Mohd Farhan Che Mat Dusuki
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan
Bahagian Kimia
Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM)
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN