SAUDARA PENGARANG
Hari Radio Sedunia disambut pada setiap tahun pada tarikh 13 Februari. 2025 menjadi tahun ke-15 sambutan ini dirayakan sejak tarikh ini diumumkan oleh UNESCO sebagai Hari Radio Sedunia pada tahun 2011.
Mengambil tema untuk Hari Radio Sedunia tahun ini iaitu “Radio dan Perubahan Iklim” sejauh manakah radio dapat memberi sumbangan terhadap isu ini dalam perkembangan media massa dan internet kini? Radio merupakan media yang sudah 100 tahun menghibur, memberi informasi dan mendidik khalayak. Malah, peranan radio ini dijadikan tema Hari Radio Sedunia 2024.
Namun, perubahan lanskap media pada masa kini, radio sering dikesampingkan oleh khalayak yang lebih memilih melayari media sosial yang lebih interaktif dan bervisual. Selain itu, pertumbuhan pelbagai genre dan cakupan audio siar (podcast) juga sedikit sebanyak memberi impak kepada sambutan khalayak terhadap radio sebagai media yang menyalurkan informasi.
Dalam pada persaingan di antara radio, audio siar dan media sosial, kritikan terhadap kualiti kandungan dan penyampaian radio di Malaysia perlu diberi perhatian. Cara penyampaian kurang berkualiti selain, menyajikan kandungan yang kurang membina masyarakat menjadikan kekangan dalam usaha mempertingkatkan pendengar sesebuah stesen.
Hiburan yang digabungjalinkan dengan informasi bukan hal baharu, malah jika diterbitkan secara berkesan mampu menarik dan mengekalkan pendengar terkumpul. Istilah ini digunakan kepada pendengar yang setidak-tidaknya mendengar radio bagi lapan minit pertama sesebuah rancangan atau disebut sebagai cumulative (cume). Durasi ini penting dalam menentukan sesebuah radio berkenaan akan mengekalkan pendengar sedia mendengar mahupun kehilangan golongan ini.
Kembali kepada peranan radio dalam meningkatkan kesedaran berkenaan perubahan iklim dunia, pelbagai usaha boleh dibuat oleh penerbit mahupun penyiar radio secara umumnya. Medium radio yang unik dan istimewa seharusnya dieksploitasikan dengan baik. Rancangan mahupun bahan rakaman yang diputarkan berkali-kali di radio dapat memberi kesan kepada masyarakat dalam jangka masa yang lama.
Penerbitan bahan rakaman seperti PSA ataupun Pesanan Khidmat Masyarakat berkenaan perubahan iklim misalnya antara yang boleh dibuat. PSA dipadukan dengan jingle (lagu) yang menarik mampu ‘melekat’ dalam minda para pendengar. Sebagai contoh, golongan Z dan milenial barangkali masih ingat lagu seperti “Setia” yang diputarkan berkali-kali di radio dalam penghujung tahun 1980-an dan awal 1990-an. Lagu berkenaan masih diingati kerana perulangan, susunan lagu dan lirik yang menarik. Malah, aura patriotik yang dibawanya kekal dalam sanubari setidak-tidaknya penulis sebagai pendengar cilik ketika itu.
PSA juga dipilih sebagai produksi dalam menyampaikan pesanan dan informasi berkenaan perubahan iklim kerana durasi yang lebih pendek, ringkas dan meninggalkan kesan yang lebih kepada pendengar. Motivasi dan rentang perhatian (attention span) pendengar kini yang lebih pendek kesan penggunaan media sosial yang pantas, sepatutnya dieksploitasikan dalam penerbitan radio.
Sifat unik penyiaran radio yang turut meliputi golongan kurang bernasib baik seperti golongan OKU penglihatan mahupun anggota, selain masyarakat luar bandar, imigran mahupun yang kurang berkemampuan. Golongan yang mungkin tidak dicapai oleh media jenis lain mampu untuk mendapatkan maklumat, hiburan dan pendidikan daripada media lain. Justeru, informasi berkenaan perubahan iklim dapat disampaikan kepada mereka dengan lebih tuntas.
Capaian siaran yang lebih meluas (selain radio dalam talian), menjadikan radio sebagai media yang lebih stabil dalam menyampaikan maklumat berkaitan dengan perubahan iklim. Pelbagai lapisan, golongan mahupun mereka yang tidak sengaja mendengar radio (seperti di pasar raya, dalam kenderaan dan restoran) mampu untuk mendapatkan pesanan berkenaan.
Akhirnya, bergantunglah kepada penyiar dan penerbit stesen radio dalam menggunakan keunikan ini dalam membentuk kandungan yang lebih berkesan selain, penyampaian yang menarik pendengar. Memasuki abad kedua industri penyiaran radio, usaha dalam mempromosikan kesedaran berkenaan perubahan iklim memerlukan kerjasama erat oleh semua pihak yang terlibat dengan penyiaran radio. Malah, penyiaran radio itu sendiri juga menyumbang kepada pertambahan jejak karbon seperti dalam penerbitan rancangan radio juga. Baik rancangan berkenaan diterbitkan bentuk siaran langsung mahupun secara rakaman.
Menurut UNESCO, 2025 dianggap sebagai tahun penting dalam perubahan iklim. Selaras dengan Perjanjian Paris jika manusia ingin mengehadkan pemanasan global kepada 1.5°C, pelepasan gas rumah hijau mesti memuncak selewat-lewatnya pada tahun ini, sebelum suhu mula menurun. Mengambil hal ini sebagai satu kesedaran, radio dapat menyampaikan mesej dan pesanan kepada pendengar dalam sama-sama mengurangkan kadar pemanasan global dalam usaha menangani isu perubahan iklim ini.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Hani Salwah Yaakup
Pensyarah Kanan
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia