SAUDARA PENGARANG
Dalam dunia digital hari ini, pengaruh bukan lagi milik media arus perdana semata-mata. Individu biasa yang mempunyai pengikut ramai di media sosial kini mampu menentukan arah perbualan, membentuk pendapat umum, dan mempengaruhi cara masyarakat berfikir.
Golongan ini dikenali sebagai pempengaruh atau influencer. Mereka berperanan sebagai suara yang berupaya mencipta, mengubah, dan mengawal naratif sosial mengikut kecenderungan mereka.
Namun, bagaimana sebenarnya mereka membentuk naratif? Di sebalik setiap hantaran, video, dan “live session”, wujud strategi halus yang mempengaruhi apa yang dilihat, dirasai dan dipercayai oleh khalayak.
Pemilihan Cerita
Setiap influencer menentukan isu apa yang ingin diketengahkan, dan keputusan itu memberi kesan besar terhadap perhatian masyarakat. Dalam bidang komunikasi, ini disebut sebagai penentu agenda atau agenda setting, apabila seseorang memilih untuk menonjolkan sesuatu topik, ia memberi isyarat bahawa topik tersebut penting.
Sebagai contoh, apabila ramai influencer berbicara tentang kesihatan mental atau konsep “self-love”, masyarakat mula menganggap isu itu penting dan wajar dibincangkan secara terbuka. Sebaliknya, isu yang tidak disentuh atau diabaikan akan tenggelam daripada perhatian awam.
Dengan kata lain, naratif awam terbentuk bukan semata-mata daripada realiti dunia sebenar, tetapi daripada apa yang dipilih untuk disuarakan oleh individu berpengaruh.
Gaya Penyampaian dan Nada Emosi
Influencer bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi turut membentuk emosi khalayak melalui gaya penyampaian mereka. Nada suara, ekspresi wajah, pilihan kata, visual dan muzik latar memainkan peranan penting dalam menentukan bagaimana sesuatu mesej diterima.
Sebagai contoh, video dengan nada sedih dan muzik perlahan mampu membina naratif “isu ini menyayat hati”, manakala penyampaian santai dan ceria menjadikan sesuatu topik kelihatan ringan dan menyeronokkan. Persepsi khalayak akhirnya tidak hanya dipengaruhi oleh fakta, tetapi oleh cara fakta itu diceritakan.
Algoritma dan Echo Chamber
Media sosial seperti TikTok, Instagram, dan YouTube digerakkan oleh algoritma yang sentiasa menonjolkan kandungan serupa dengan minat pengguna. Ini mewujudkan fenomena echo chamber, di mana seseorang hanya terdedah kepada pandangan sehaluan tanpa mendengar suara berbeza.
Apabila seseorang hanya menonton video daripada kelompok yang menyokong pandangan tertentu, lama-kelamaan naratif tersebut akan dianggap sebagai kebenaran mutlak walaupun mungkin tidak tepat. Akibatnya, masyarakat menjadi semakin terpisah oleh naratif yang berbeza, dibina oleh algoritma yang tidak neutral.
Pengaruh Sosial dan Norma Maya
Apabila sesuatu kandungan disukai, dikongsi, atau ditiru oleh ramai orang, ia menandakan penerimaan sosial. Influencer menggunakan kuasa sosial majoriti ini untuk membentuk norma baharu dalam masyarakat.
Sebagai contoh, trend seperti “body positivity”, “hustle culture” atau “quiet quitting” bermula sebagai pandangan peribadi, tetapi apabila menjadi viral, ia berubah menjadi naratif sosial yang diterima secara kolektif.
Lama-kelamaan, masyarakat mula menilai diri dan orang lain melalui kaca mata trend tersebut. Inilah bagaimana norma sosial baharu terbentuk iaitu melalui pengulangan mesej yang datang daripada individu berpengaruh.
Kaslian dan Nilai Kemanusiaan
Naratif yang paling berkesan datang daripada keaslian (authenticity). Influencer yang berkongsi pengalaman sebenar, cabaran hidup atau nilai moral mereka sendiri mencipta kesan psikologi yang mendalam terhadap pengikut. Apabila penonton merasakan “dia seperti saya”, mesej yang disampaikan menjadi lebih dipercayai.
Sebagai contoh, seorang ibu tunggal yang berkongsi kisah perjuangannya membesarkan anak bukan sekadar menghasilkan kandungan, tetapi membentuk naratif tentang ketabahan dan harapan. Naratif yang bermula daripada pengalaman peribadi akhirnya menjadi simbol kolektif dalam masyarakat.
Pengulangan dan Penyebaran Viral
Dalam dunia media sosial, pengulangan bermakna normalisasi. Kandungan yang sering diulang oleh pelbagai influencer akhirnya diterima sebagai pandangan umum. Sebagai contoh, apabila ramai influencer menekankan bahawa “kerja fleksibel lebih sihat dan moden”, pandangan itu menjadi norma sosial, walaupun ia tidak semestinya sesuai untuk semua bidang pekerjaan.
Naratif menjadi kukuh bukan kerana kebenarannya, tetapi kerana ia diulang, dikongsi dan dipercayai secara berterusan. Dengan itu, kita dapat lihat bahawa naratif digital tidak terbentuk secara rawak. Ia hasil daripada gabungan strategi komunikasi, pengaruh sosial, dan keupayaan teknologi memperkukuh mesej yang sehaluan.
Influencer hari ini bukan sekadar pencipta kandungan, malah mereka adalah pengarah naratif masyarakat, membentuk cara kita melihat isu, menilai nilai, dan memahami dunia. Maka, tanggungjawab mereka amatlah besar.
Dalam era di mana satu video mampu mengubah persepsi ribuan orang, kejujuran, empati dan kesedaran etika menjadi asas penting. Jika digunakan dengan bijak, media sosial boleh menjadi ruang pendidikan dan penyatuan masyarakat. Tetapi jika disalahguna, ia berpotensi menjadi senjata naratif yang menyesatkan dan memecahbelahkan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Miharaini Md Ghani,
Pensyarah
Pusat Pengajian Komunikasi
Universiti Sains Malaysia