fb fb fb fb fb

Malaysia MADANI: Rakyat disantuni, warisan dijunjung

Foto hiasan/JAPEN

SAUDARA PENGARANG

Dalam denyut nadi sejarah tanah air, terukir satu kisah agung tentang tanah bertuah bernama Malaysia. Dari hembusan bayu Nusantara hingga desir ombak Selat Melaka, bumi ini telah menyulam benang-benang perpaduan, adat, dan perjuangan dalam tenunan watan yang penuh makna.

Maka, pada Hari Kebangsaan ini, kita menyanjung tinggi semangat Malaysia MADANI, satu gagasan yang menjunjung nilai insaniah, berteraskan kasih sayang, keadilan, dan ketelusan. Di bawah panji tema "Malaysia MADANI- Rakyat Disantuni," marilah kita menyorot sinar kebanggaan dan harapan yang menyinari negara tercinta.

MADANI bukan sekadar lafaz atau slogan; ia adalah denyut nadi baharu dalam pentadbiran dan kehidupan rakyat. Dalam khazanah bahasa Melayu, “Madani” membawa erti peradaban yang luhur dan sejahtera, tersulam nilai keinsanan dan kemanusiaan. Maka, apabila rakyat disantuni, yang dizahirkan bukan hanya pembangunan material, tetapi juga pembangunan akal, adab, dan akhlak.

Rakyat adalah tiang seri negara. Tanpa rakyat yang utuh jiwa dan rohaninya, runtuhlah segala tamadun yang dibina. Maka, menyantuni rakyat bukanlah kerja pinggiran, tetapi inti sari kepada kemajuan yang sebenar. Seperti kata pepatah, “Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah,” maka pemerintah yang berjiwa rakyat, mendengar denyut nadi mereka, pastilah menjadi lambang kekuatan negara.

Malaysia yang kita cintai ini bukan tanah yang didiami satu bangsa, satu bahasa, atau satu budaya semata. Sebaliknya, ia laksana taman indah penuh bunga warna-warni; Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, dan pelbagai etnik lainnya hidup dalam satu rumpun, bernaung di bawah jalur gemilang yang satu. Maka, menyantuni rakyat adalah menyantuni semua , tiada yang tersisih, tiada yang terpinggir.

Gagasan MADANI menjunjung prinsip “rahmah untuk semua” iaitu membina negara dengan kasih sayang, tanpa prejudis dan tanpa diskriminasi. Inilah roh Malaysia yang tulen. Seperti dalam pepatah lama, “Muafakat membawa berkat,” begitulah jua kekuatan negara ini apabila setiap anak watan berganding bahu, menyulam harapan dan membina masa hadapan yang gemilang.

Jika dahulu pembangunan hanya diukur dari bangunan tinggi mencakar langit dan jalan raya yang berliku panjang, kini tafsirannya telah berubah. Pembangunan yang sebenar ialah apabila setiap rakyat merasai nikmatnya, dari nelayan di muara hingga petani di bendang, dari penjawat awam di kota hingga pendidik di pedalaman.

Kerajaan Malaysia MADANI melakar pelbagai inisiatif menyantuni rakyat; bantuan kos sara hidup, reformasi pendidikan, peningkatan kecekapan perkhidmatan awam, serta penyediaan peluang pekerjaan yang adil. Bukan sekadar membina bangunan, tetapi membina jiwa dan maruah bangsa. Seperti kata bidalan, “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing,” maka pembangunan yang lestari ialah yang digalas bersama, bukan untuk segelintir golongan sahaja.

Dalam keghairahan menuju kemajuan, budaya bangsa tidak boleh dilupakan. Budaya adalah akar; akar yang mencengkam tanah, agar pohon bangsa tidak rebah ditiup angin globalisasi. Malaysia MADANI menghargai warisan dari pantun lama, seni ukiran, tarian zapin hingga ke gendang silat semuanya adalah nadi kebangsaan yang perlu dijaga.

Anak muda hari ini perlu diasuh bukan hanya dengan ilmu teknologi, tetapi juga jati diri bangsa. Pendidikan harus merangkumi hikmah tradisi dan nilai ketimuran, kerana “takkan hilang Melayu di dunia” bukan hanya bicara megah, tetapi amanah yang perlu dijunjung. Menyantuni rakyat juga bermaksud memelihara jiwa bangsa daripada hanyut dalam arus yang tidak berakar.

Tatkala Jalur Gemilang berkibar megah di langit merdeka, marilah kita hayati erti sebenar tema tahun ini, “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.” Ia bukan hanya semangat yang dilaung dalam perarakan, tetapi iltizam yang mesti dilaksana dalam setiap dasar, tindakan dan niat.

Marilah kita bersama membina tanah air ini, menyulam benang harapan dengan sulaman keikhlasan dan benang perpaduan. Seperti pantun warisan:

Tanam pinang rapat-rapat,
Supaya senang burung tempua,
Rakyat disantun, negara kuat,
Malaysia MADANI kekal sejahtera.

Dirgahayu Malaysia!
Negaraku, cintaku, maruahku.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

2909 NOR EMYLIA BINTI LOT
Nor Emylia binti Lot
Pegawai Penerangan
Daerah Kuala Nerus, Terengganu
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI