fb fb fb fb fb

Kembali ke fitrah dengan zakat fitrah

Foto hiasan/Arkib Bernama

SAUDARA PENGARANG 

Perkataan “fitrah" berasal daripada bahasa Arab, yang memiliki makna mendalam dalam konteks keagamaan dan linguistik. Fitrah berasal daripada akar kata فَطَرَ (fathara), bererti “menciptakan”, “memulakan” atau “membentuk sesuatu daripada awal”. Kata ini juga sentiasa dikaitkan dengan konsep penciptaan yang alami dan murni.

Maka “fitrah” bermaksud “keadaan asal atau kudrat manusia ketika diciptakan oleh Allah SWT dan sesuatu yang bersifat alami, murni, dan tidak tercemar. Dalam Al-Quran, kata “fitrah” digunakan untuk menunjukkan keadaan manusia yang diciptakan dalam keadaan suci dan lurus, sebagaimana firman Allah dalam Surah Ar-Rum ayat 30:

               "Maka hadapkanlah wajahmu kepada agama yang lurus (Islam), (sesuai) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu." 

Ayat ini menegaskan bahawa fitrah adalah pola dasar atau keadaan semulajadi manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, iaitu kecenderungan untuk mengenal Rabnya dan mengikuti jalan yang benar.

Dalam konteks zakat fitrah, kata fitrah memiliki hubungan erat dengan kembali kepada kesucian dan keadaan asal yang murni. “Fitrah’” dalam zakat fitrah bermaksud “pengembalian jiwa manusia kepada kesucian aslinya”, sehingga seseorang kembali seperti bayi baru lahir dan bebas daripada dosa.

Zakat fitrah diwajibkan pada bulan Ramadan kerana ianya berkait rapat dengan tujuan dan makna kerohanian Ramadan itu sendiri. Ramadan adalah bulan penuh keberkatan, di mana umat Islam diperintahkan untuk menjalankan ibadah puasa sebagai satu bentuk ketaatan kepada Allah SWT.

Zakat fitrah diwajibkan sebagai penyempurnaan ibadah puasa selama sebulan; penuh dan usaha membersihkan diri daripada dosa-dosa kecil serta kesalahan sepanjang bulan Ramadan. Maka bertepatanlah; Allah SWT perintahkan membayar zakat fitrah dalam bulan Ramadan sahaja dan tidak pada bulan-bulan lain.

Ia juga sebagai satu bentuk manifestasi rasa syukur atas nikmat Allah SWT yang telah memberikan kesempatan untuk menjalankan ibadah puasa dan mendapat keampunan-Nya. Zakat fitrah juga menjadi usaha untuk memperkuat solidariti sosial, kerana melalui zakat ini, kaum dhuafa dan fakir miskin juga merasakan kebahagiaan Idul Fitri atau Aidilfitri.

Dalam konteks ekonomi, zakat fitrah juga mengajarkan nilai-nilai keadilan dan kesetaraan dalam masyarakat. Membayar zakat fitrah membolehkan setiap Muslim menyumbang untuk mengurangkan kesenjangan ekonomi dan memastikan bahwa semua orang dapat merayakan Idul Fitri dengan penuh kesyukuran.

Oleh itu, zakat fitrah bukan hanya sekadar kewajiban material, tetapi juga merupakan simbol kerohanian untuk membersihkan jiwa dan memperbarui komitmen kepada Allah SWT.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

AHMAD YANI ISMAIL
Ahmad Yani Ismail
Pensyarah
Jabatan Ekonomi dan Kewangan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor

MAT YUNUS BIN SABRI