fb fb fb fb fb

Kemahiran perlu ada untuk pembangun perisian di Malaysia

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Industri pembangunan perisian di Malaysia berkembang dengan pesat, didorong oleh transformasi digital, automasi, kecerdasan buatan (AI) dan keperluan organisasi untuk bergerak pantas dalam pasaran global.

Perubahan ini mempengaruhi permintaan terhadap kemahiran teknikal diperlukan oleh pembangun perisian, hingga menyebabkan graduan dan tenaga kerja sedia ada perlu sentiasa menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi.

Perkembangan Industri Pembangunan Perisian 2025

Pada tahun 2025, landskap kerjaya pembangunan perisian tidak lagi hanya bergantung kepada penguasaan bahasa pengaturcaraan asas, tetapi melibatkan pengetahuan meluas merentasi teknologi web, cloud, pangkalan data, DevOps serta alat kolaborasi moden.

Walaupun permintaan terhadap pembangun perisian meningkat setiap tahun, terdapat jurang ketara antara kemahiran yang dimiliki oleh graduan dengan kemahiran sebenar yang diperlukan oleh industri.

Ramai graduan institusi pengajian tinggi masih belum dibekalkan dengan pendedahan kepada teknologi terkini seperti Docker, GitHub, AWS atau rangka kerja web moden seperti React dan Angular.

Selain itu, perkembangan teknologi berlaku dengan begitu pantas sehingga pembangun sedia ada turut menghadapi cabaran untuk meningkatkan kemahiran masing-masing.

Laporan Stack Overflow Developer Survey 2025 menunjukkan bahawa teknologi yang digunakan secara meluas dalam industri adalah berbeza daripada apa yang kebanyakan pelajar belajar di pusat-pusat pengajian tinggi.

Jika jurang ini tidak ditangani, ia boleh menyebabkan graduan sukar mendapat pekerjaan, dan industri pula berdepan kekurangan bakat yang berkemahiran.

Sehubungan itu, artikel ini bertujuan memberi panduan kepada pelajar, pendidik dan profesional mengenai kemahiran yang perlu diberi keutamaan untuk meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing dalam industri pembangunan perisian.

Ia dikupas berdasarkan kajian tahunan terbesar industri pembangunan perisian iaitu Stack Overflow Developer Survey 2025 yang melibatkan ratusan ribu pembangun perisian seluruh dunia.

Analisis juga berasaskan data dipilih daripada 6 kategori laporan tersebut iaitu pengaturcaraan, skrip dan bahasa penanda atau markup, pangkalan data, persekitaran pembangunan bersepadu, rangka kerja dan teknologi web, pembangunan awan dan dokumentasi kod dan alat kolaborasi.

Daripada setiap kategori tersebut, hanya 10 teknologi paling popular dipilih. Pemilihan ini bertujuan memberi gambaran jelas terhadap kemahiran “wajib ada” yang diperlukan oleh industri pembangunan perisian pada hari ini.

Senarai 10 teknologi teratas bagi kategori pengaturcaraan, pangkalan data dan persekitaran pembangunan bersepadu adalah seperti di bawah:

0212 PERISIAN2

Kategori pertama merangkumi bahasa pengaturcaraan teras yang menjadi asas kepada pembangunan perisian moden.

Bahasa seperti JavaScript, Python, SQL dan HTML/CSS kekal dominan kerana peranannya dalam membina aplikasi web, analisis data serta pengurusan pangkalan data.

Senarai tersebut menunjukkan bahawa penguasaan bahasa-bahasa ini bukan sahaja penting untuk pembangun baharu, tetapi juga menjadi keperluan utama dalam kebanyakan projek industri.

Oleh itu, pemahaman mendalam terhadap bahasa pengaturcaraan dan skrip ini adalah langkah asas bagi sesiapa yang ingin berjaya sebagai pembangun perisian pada tahun 2025.

Sementara itu, pangkalan data merupakan komponen kritikal dalam hampir semua aplikasi moden, sama ada sistem perbankan, e-dagang, perkhidmatan kerajaan atau aplikasi mudah alih.

Senarai tersebut menunjukkan bahawa teknologi pangkalan data seperti PostgreSQL, MySQL dan SQLite terus menjadi pilihan utama pembangun kerana kestabilan, prestasi dan kemudahan integrasi dengan bahasa pengaturcaraan popular.

Penguasaan pangkalan data bukan sahaja melibatkan kemampuan menulis arahan SQL, tetapi juga pemahaman tentang reka bentuk data, keselamatan dan keupayaan mengendalikan sistem berskala besar dan Data Raya.Oleh itu, penguasaan kemahiran ini menjadi antara keutamaan utama bagi pembangun perisian tahun ini.

Persekitaran pembangunan bersepadu (IDE) pula merupakan alat asas yang digunakan pembangun untuk menulis, menguji dan menyahpepijat kod dengan lebih efisien. Data terbaru menunjukkan Visual Studio Code kekal sebagai IDE paling popular, diikuti oleh Visual Studio, IntelliJ IDEA, PyCharm dan Android Studio.

Penguasaan IDE bukan sekadar tahu menulis kod, tetapi memahami ciri lanjutan seperti integrasi Git, automasi projek dan pengurusan dependensi. Kecekapan menggunakan IDE menjadikan pembangun perisian menjadi lebih produktif dan mampu menyiapkan projek dengan lebih pantas serta profesional.

Seterusnya, jadual di bawah menyenaraikan 10 teknologi teratas bagi kategori teknologi web, pembangunan awan, dokumentasi kod dan alat kolaborasi.


0212 PERISIAN3

Rangka kerja web memainkan peranan utama dalam pembangunan aplikasi moden yang pantas dan berskala besar. Menurut Stack Overflow Developer Survey 2025, teknologi seperti Node.js, React, jQuery, Next.js dan Express terus menjadi pilihan utama pembangun kerana kecekapan, komuniti besar serta ekosistem yang matang.

Dalam era aplikasi web digunakan secara meluas untuk perbankan, e-dagang, pendidikan dan perkhidmatan digital, penguasaan rangka kerja web menjadi kemahiran penting bagi setiap pembangun.

Rangka kerja moden bukan sahaja memudahkan pembangunan front-end dan back-end, tetapi juga menyokong integrasi dengan awan atau cloud dan DevOps, menjadikannya kritikal untuk pasaran kerja untuk tahun 2025.

Persekitaran pembangunan berasaskan awan juga menjadi semakin penting dalam era aplikasi moden yang memerlukan kebolehskalaan, fleksibiliti dan keupayaan pengaturan pantas.

Laporan itu turut menunjukkan teknologi seperti Docker, Kubernetes dan platform awan utama seperti AWS, Azure dan Google Cloud terus memimpin penggunaan peringkat global. Teknologi awan atau cloud bukan lagi pilihan, tetapi menjadi infrastruktur asas bagi kebanyakan organisasi yang ingin mengekalkan daya saing dalam pasaran.

Penguasaan alat pembangunan awan membolehkan pembangun menghantar aplikasi dengan lebih cekap sambil memastikan kebolehpercayaan dan prestasi berada pada tahap optimum. Selain itu, kerja pembangunan perisian semakin bersifat kolaboratif, melibatkan ramai pembangun yang bekerja serentak pada kod yang sama.

Oleh itu, alat dokumentasi dan kolaborasi seperti GitHub, Jira, GitLab, Confluence, Markdown dan Notion menjadi sangat penting dalam pengurusan projek. Menurut laporan Stack Overflow, GitHub berada di kedudukan teratas sebagai platform kolaborasi kod paling meluas digunakan di seluruh dunia.

Keupayaan untuk mendokumentasikan kod dengan jelas, mengurus isu projek, memantau perkembangan pasukan dan menjalankan semakan kod menjadikan alat kolaborasi ini antara kemahiran penting bagi pembangun profesional.

Ringkasnya, enam kategori teknologi ini penting kerana ia mewakili keseluruhan ekosistem yang membentuk pembangunan perisian moden.

Penguasaan kemahiran ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran pembangun, tetapi juga menjadi syarat “wajib ada” bagi syarikat teknologi yang semakin bergantung kepada aplikasi berskala besar dan proses pembangunan lebih pantas dan efisien.

Ini bukan bermaksud bahawa teknologi atau alatan lain tidak bagus, cuma artikel ini berkongsi kemahiran yang perlu dikuasai oleh setiap pelajar pembangunan perisian sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Penguasaan beberapa teknologi daripada 10 teknologi teratas yang disenaraikan dalam laporan Stack Overflow Developer Survey 2025 dapat menyediakan mereka dengan kemahiran yang relevan dengan permintaan pasaran.

Masa Depan Industri Pembangunan Perisian

Bagi memastikan Malaysia terus melahirkan pembangun perisian yang kompetitif, pelajar perlu menguasai kemahiran teras seperti pengaturcaraan, pangkalan data, cloud dan DevOps. Manakala, pendidik disaran menyelaras kurikulum dengan keperluan industri dan menggunakan alat sebenar seperti GitHub Classroom serta rangka kerja web moden.

Industri pula digalakkan memperkukuh kerjasama dengan institusi pendidikan seperti menyediakan latihan industri bagi membentuk tenaga kerja yang lebih bersedia. Justeru, kesemua pihak perlu memainkan peranan agar jurang kemahiran dapat dikurangkan dan pembangunan bakat digital negara dapat dipertingkatkan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR. ZHAMRI CHE ANI
Dr. Zhamri Che Ani
Pensyarah Kanan Kejuruteraan Perisian
Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC)
Universiti Utara Malaysia (UUM)
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI