fb fb fb fb fb

Keajaiban haiwan dalam menemani anak autisme

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Dalam dunia penuh dengan suara, warna dan interaksi sosial yang kompleks, kanak-kanak autisme sering kali hidup dalam dimensi berbeza. Mereka mengalami kesukaran dalam berkomunikasi, menghadapi cabaran besar dalam bersosial, dan kerap kali bergelut dengan pengurusan emosi yang tidak stabil.

Namun begitu, di tengah-tengah kebisingan dan kekusutan dunia moden, wujud satu bentuk terapi yang semakin mendapat perhatian iaitu terapi berasaskan haiwan. Haiwan, tanpa perlu berkata-kata, hadir sebagai teman sejati yang penuh empati dan mampu membuka pintu kepada dunia yang selama ini sukar diterokai oleh anak-anak autisme. Hubungan antara manusia dan haiwan telah lama diiktiraf sebagai satu bentuk ikatan semula jadi yang mampu memberi ketenangan dan kebahagiaan.

Bagi anak autisme, kehadiran haiwan bukan sahaja membawa kegembiraan, tetapi juga menawarkan laluan untuk melatih kemahiran komunikasi dan sosialisasi. Apabila seorang anak autisme mula berinteraksi dengan haiwan seperti kucing, anjing atau arnab, kita dapat menyaksikan perubahan kecil yang memberi makna besar – mereka mula memberi arahan mudah, memberi pelukan spontan, atau menunjukkan senyuman yang jarang terlihat. Haiwan menjadi jambatan antara dunia senyap mereka dan dunia sosial yang selama ini menekan.

Bagi kebanyakan anak autisme, ekspresi emosi bukanlah sesuatu yang mudah. Mereka mungkin cepat marah, gelisah atau menunjukkan tingkah laku yang sukar difahami. Dalam konteks ini, haiwan memainkan peranan penting dalam melatih pengurusan emosi.

Contohnya, dengan menyentuh dan membelai bulu lembut seekor arnab atau kucing, kanak-kanak belajar mengenali emosi mereka sendiri – dari rasa tenang kepada rasa sayang. Melalui rutin penjagaan haiwan seperti memberi makan, membersih kandang atau membawa haiwan berjalan-jalan, anak autisme juga belajar tentang tanggungjawab, sabar dan kasih sayang tanpa syarat.

Satu lagi keajaiban yang tidak boleh diabaikan ialah keupayaan haiwan untuk membantu mengurangkan tekanan dan kebimbangan. Kajian menunjukkan bahawa interaksi fizikal dengan haiwan mampu menurunkan kadar hormon stres dan meningkatkan hormon serotonin serta dopamin yang berkait rapat dengan rasa bahagia.

Ini menjadikan terapi haiwan sebagai pilihan semula jadi yang sangat sesuai untuk anak autisme, terutamanya dalam situasi tekanan tinggi seperti perubahan rutin, persekitaran baharu atau selepas mengalami amukan emosi. Ketika dunia terasa terlalu berat untuk dihadapi, seekor haiwan boleh menjadi pelindung senyap yang memberi ketenangan yang tiada tandingannya.

Dalam kalangan haiwan yang sering digunakan untuk terapi, anjing dan kuda menduduki tempat istimewa. Anjing, terutamanya baka yang dilatih khas seperti Golden Retriever dan Labrador, terkenal dengan sifat penyayang, setia dan sabar. Mereka mampu membantu anak autisme bukan sahaja dalam aspek emosi, tetapi juga dalam membina keyakinan diri dan kemahiran motor halus melalui aktiviti seperti menyikat bulu atau bermain bola. Kuda pula digunakan dalam terapi yang dikenali sebagai hippotherapy. Gerakan semula jadi kuda membantu meningkatkan koordinasi, keseimbangan dan tumpuan anak.

Selain itu, kucing, arnab, burung, dan ikan juga tidak kurang hebatnya. Kucing misalnya, walaupun lebih bebas dan kurang responsif berbanding anjing, mempunyai keupayaan untuk memberikan rasa aman dan tenang kepada anak autisme yang mudah terganggu oleh bunyi bising atau pergerakan pantas. Ikan pula, dengan pergerakan renangan yang berulang dan tenang, mampu menarik perhatian dan memberi kesan relaksasi yang mendalam, terutamanya bagi anak autisme yang sensitif terhadap stimulasi visual.

Namun begitu, penggunaan haiwan dalam terapi bukanlah, tiada cabaran. Antara cabaran utama adalah keperluan penjagaan rapi terhadap haiwan tersebut. Anak autisme mungkin belum cukup matang untuk memahami cara mengurus haiwan dengan betul, dan tanpa pemantauan, ini boleh menyebabkan kecederaan sama ada kepada anak atau kepada haiwan itu sendiri.

Tambahan pula, tidak semua kanak-kanak autisme selesa dengan kehadiran haiwan. Ada yang mengalami ketakutan atau alahan, dan ini memerlukan pendekatan yang sangat berhati-hati serta pemilihan haiwan yang sesuai mengikut kesesuaian individu.

Isu kebersihan juga sering menjadi pertimbangan penting. Dalam sesetengah keluarga, terutamanya yang tinggal di rumah kecil atau pangsapuri, ruang terhad menyukarkan pemeliharaan haiwan peliharaan. Manakala dari sudut logistik, tidak semua institusi terapi mampu menyediakan fasiliti atau persekitaran sesuai untuk interaksi anak dengan haiwan secara selamat dan berkesan.

Satu perkembangan menarik dalam bidang ini ialah penggunaan haiwan eksotik dalam terapi autisme. Walaupun masih dalam peringkat kajian dan tidak meluas, haiwan seperti guinea pig alpaka, kura-kura sulcata, dan bahkan reptilia seperti gecko dan ular tidak berbisa telah digunakan dalam beberapa program terapi eksperimental.

Haiwan-haiwan ini, dengan tekstur dan tingkah laku yang unik, mampu merangsang rasa ingin tahu dan meningkatkan keupayaan anak untuk beradaptasi dengan variasi deria yang berbeza. Namun begitu, penggunaan haiwan eksotik ini memerlukan pemantauan ketat serta pengetahuan mendalam tentang sifat semula jadi haiwan tersebut untuk mengelakkan risiko.

Akhir kata, kehadiran haiwan dalam kehidupan anak autisme bukan sekadar satu bentuk terapi, ianya adalah jalinan kasih yang tulus dan bebas prasangka. Haiwan tidak menilai, tidak memperlekeh, dan tidak memberi tekanan. Mereka hadir dengan kesetiaan yang luar biasa, mengisi kekosongan yang kadangkala tidak mampu diisi oleh manusia sendiri.

Dalam dunia di mana anak autisme sering disalah fahami dan disisihkan, haiwan menawarkan satu bentuk hubungan yang paling tulus, sebuah hubungan yang penuh dengan kasih sayang, kepercayaan dan harapan.

Maka, tidak hairanlah mengapa semakin ramai ibu bapa, pendidik dan ahli terapi mula membuka mata terhadap potensi besar terapi haiwan ini. Ia bukan sahaja membantu dalam aspek perkembangan sosial dan emosi anak autisme, tetapi turut membuka peluang kepada masyarakat untuk lebih memahami bahawa penyembuhan kadangkala hadir dalam bentuk yang paling sederhana – seekor haiwan yang hanya tahu mencintai tanpa syarat.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR YOHAN KURNIAWAN
Dr. Yohan Kurniawan
Pensyarah Kanan
Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI