SAUDARA PENGARANG
Keruntuhan akhlak dan moral dalam kalangan remaja kini semakin membimbangkan dan menjadi isu hangat yang sering dibincangkan oleh pelbagai pihak. Isu ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan nilai sahsiah generasi muda yang bakal menjadi tunjang kepada masa depan negara.
Penglibatan remaja dalam aktiviti tidak bermoral seperti seks bebas, penyalahgunaan dadah dan ketagihan menonton bahan lucah telah memberi kesan buruk terhadap peningkatan kes penyakit berbahaya seperti HIV, AIDS, serta gangguan kesihatan mental.
Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan sebanyak 1,091 kes HIV direkodkan antara tahun 2020 hingga 2024, melibatkan pelajar dari peringkat sekolah menengah hingga ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Lebih membimbangkan, pada tahun 2024 sahaja, sebanyak 222 kes HIV baharu melibatkan pelajar IPT telah direkodkan. Aktiviti berisiko seperti seks tanpa perlindungan, perkongsian jarum suntikan, dan penyalahgunaan bahan terlarang dikenal pasti sebagai punca utama jangkitan.
Menurut Yayasan AIDS Malaysia, peningkatan ini bukan sahaja melibatkan remaja berusia 18 hingga 19 tahun, malah turut membabitkan pelajar seawal usia 13 tahun, dengan 8 kes baharu dilaporkan melibatkan hubungan seksual tidak selamat.
Fenomena normalisasi maksiat dalam kalangan remaja menjadi antara punca utama kepada penularan gejala tidak bermoral ini. Pengaruh media sosial serta akses tanpa kawalan kepada bahan lucah menyumbang kepada peningkatan kes HIV, terutamanya dalam kalangan pelajar IPT – golongan yang sepatutnya menjadi aset negara dari segi intelektual dan kepimpinan masa depan.
Pendedahan yang dilakukan oleh KKM dan Yayasan AIDS Malaysia pada Julai 2025 harus dilihat sebagai satu tanggungjawab sosial, dan bukan sekadar statistik semata-mata. Justeru, usaha perlu digembleng bagi merangka langkah intervensi yang holistik untuk mencegah dan mengawal salah laku dalam kalangan remaja.
Salah satu institusi utama yang memainkan peranan besar dalam membentuk sahsiah remaja ialah institusi kekeluargaan. Dalam era digital kini, remaja lebih cenderung berkomunikasi melalui gajet berbanding interaksi fizikal bersama ahli keluarga.
Justeru, amat penting bagi ibu bapa dan penjaga untuk mengimbangi penggunaan teknologi dengan pendekatan komunikasi bersemuka, agar hubungan emosional anak-anak dapat dipupuk dan dipantau secara berterusan.
Kegagalan untuk memahami dan mempraktikkan asas-asas agama dalam kehidupan seharian menjadi punca utama peningkatan salah laku remaja. Oleh itu, peranan ibu bapa sebagai “CCTV emosi” anak-anak adalah sangat penting bagi mengenal pasti perubahan tingkah laku dan kecenderungan negatif sejak dari usia muda.
Sebagai langkah pencegahan, Kementerian Kesihatan Malaysia telah memperkenalkan kaedah Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) yang mampu mengurangkan risiko jangkitan HIV sekiranya diambil secara konsisten. Di samping itu, pelbagai kempen kesedaran dan penerangan tentang bahaya salah laku seksual serta kesan penyalahgunaan bahan terlarang turut giat dijalankan oleh pihak KKM.
Antara intervensi paling signifikan dalam menangani gejala sosial ini ialah dengan memantapkan kesedaran keberagamaan dalam diri remaja. Kehidupan beragama merupakan asas penting dalam membentuk tingkah laku yang mulia kerana semua agama menekankan prinsip etika seperti berbuat baik dan menjauhi kemudaratan terhadap diri dan masyarakat.
Dalam konteks Islam, garis panduan syariah jelas melarang perbuatan yang boleh memudaratkan, selaras dengan prinsip Maqasid al-Shari‘ah yang bertujuan memelihara maslahat dan menghindari kemudaratan terhadap individu, keluarga dan agama.
Sikap segelintir remaja yang menganggap kebebasan peribadi sebagai hak mutlak tanpa mengambil kira tanggungjawab sosial akhirnya membawa implikasi buruk. Ia bukan sahaja mencemarkan maruah sebagai penuntut institusi pengajian tinggi, malah menjejaskan kesihatan jasmani, rohani dan mental secara keseluruhan.
Justeru, pendekatan menyeluruh yang merangkumi peranan keluarga, pendidikan, institusi keagamaan dan pihak berkuasa perlu digerakkan secara kolaboratif agar gejala ini dapat ditangani secara tuntas demi kelestarian masa depan negara.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr Ariyanti Mustapha
Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh dan Usul
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
E-mel: