SAUDARA PENGARANG
Tanggal 31 Ogos setiap tahun, rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan dengan penuh rasa bangga dan syukur. Laungan “Merdeka!” yang dilaungkan pada 1957 bukan sekadar menandakan berakhirnya penjajahan, tetapi menjadi simbol kebebasan, maruah dan hak untuk menentukan masa depan sendiri.
Namun, lebih enam dekad selepas itu, persoalan yang wajar kita tanyakan bersama ialah: Adakah semangat merdeka ini benar-benar dirasai oleh semua warganegara, termasuk golongan orang kurang upaya (OKU)?
Kemerdekaan yang belum sempurna
Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat, terdapat lebih daripada setengah juta OKU yang berdaftar di Malaysia. Namun, realiti di lapangan menunjukkan sebahagian besar daripada mereka masih berdepan halangan untuk mendapat peluang pekerjaan, akses pendidikan, kemudahan awam dan penyertaan penuh dalam masyarakat.
Dasar memang ada. Kerajaan memperkenalkan kuota sekurang-kurangnya 1% pengambilan OKU dalam sektor awam pelaksanaan dasar ini digariskan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2008 dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 16 Tahun 2010, yang menjelaskan tentang peruntukan peluang pekerjaan 1% dalam perkhidmatan awam kepada OKU, menurut Portal Rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam.
Walaupun dasar ini telah dilaksanakan, terdapat cabaran dalam mencapai sasaran 1% ini. Antara faktor yang dikenal pasti termasuk peratusan permohonan pekerjaan oleh calon OKU yang masih belum mencapai tahap yang ditetapkan.
Kementerian dan agensi kerajaan sedang giat berusaha untuk meningkatkan kesedaran dan mempercepatkan pencapaian dasar ini. Ini termasuk menyediakan kemudahan pendaftaran pekerjaan secara atas talian dan memperluas akses kepada latihan dan pemulihan bagi calon OKU.
Selain itu, kerajaan juga sedang mengkaji semula dasar ini untuk menambah baik pelaksanaannya dan memastikan matlamat dasar ini tercapai sepenuhnya.
Namun, sehingga kini, pencapaian kuota tersebut masih jauh daripada sasaran. Angka yang kecil ini menunjukkan bahawa walaupun kita sudah lama merdeka, akses kepada peluang yang sama rata masih menjadi perjuangan yang belum selesai.
Pelbagai insiatif juga diberi kepada sektor swasta juga belum mampu membuka ruang yang sewajarnya bagi menarik minat dan keyakianan majikan untuk memberi peluang kepada lebih ramai OKU diberi peluang kerja dan peluang untuk menjadi ahli masyarakat yang progresif.
Dari kebajikan kepada pemberdayaan
Salah satu cabaran besar ialah persepsi masyarakat. OKU sering dilihat hanya sebagai penerima bantuan atau golongan yang perlu dilindungi semata-mata. Pandangan ini, tanpa disedari, meletakkan OKU di pinggir pembangunan negara.
Hakikatnya, apabila diberi ruang dan sokongan yang sewajarnya, golongan OKU mampu menjadi penyumbang penting kepada kemajuan negara.
Lihat sahaja pencapaian atlet para yang mengharumkan nama Malaysia di pentas Paralimpik. Begitu juga dengan usahawan OKU yang berjaya membuka peluang pekerjaan untuk orang lain.
Di negara-negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan, pemberdayaan OKU dilihat sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan ekonomi.
Mereka bukan sekadar memenuhi kuota, tetapi memastikan setiap individu mempunyai peluang untuk menyumbang berdasarkan potensi masing-masing. Malaysia juga mampu bergerak ke arah itu jika kita benar-benar menjiwai makna Merdeka.
Semangat merdeka dan kebebasan dari segala bentuk halangan
Kemerdekaan bukan hanya bermaksud bebas daripada penjajah, tetapi juga bebas daripada segala bentuk sekatan yang menghalang rakyat untuk hidup dengan maruah.
Bagi OKU, kemerdekaan sebenar ialah apabila mereka bebas daripada diskriminasi, bebas bergerak di ruang awam yang mesra inklusif, bebas mendapat pendidikan setara, dan bebas untuk memilih pekerjaan tanpa prejudis.
Maka, setiap kali kita melaungkan “Merdeka!”, ia seharusnya mengingatkan kita bahawa kemerdekaan itu milik semua. Tidak ada erti kemerdekaan jika masih ada warganegara yang terpaksa hidup dalam kekangan kerana sistem atau minda masyarakat yang belum bersedia menerima kepelbagaian keupayaan.
Malaysia MADANI dan agenda inklusif
Kerangka Malaysia MADANI yang ditekankan oleh kerajaan menekankan nilai ihsan, kesejahteraan dan inklusiviti. Nilai-nilai ini seharusnya diterjemahkan secara nyata dalam bentuk dasar yang mengarusperdanakan isu OKU dalam setiap sektor termasuklah sektor pendidikan, pekerjaan, perumahan, pengangkutan dan kesihatan.
Begitu juga dengan komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 2030), yang menuntut “no one left behind". Semangat ini bertepatan dengan cita-cita Merdeka sebuah negara yang tidak meminggirkan sesiapa pun.
Ia bertepatan jua dengan tema sabutan Hari Merdeka 2025 iaitu Malaysia MADANI Rakyat Disantuni. Hal ini perlu di lestari tanpa mengira kaum status dan keupayaan rakyat.
OKU sebagai agen perubahan
Kita tidak perlu pergi jauh untuk mencari contoh inspirasi. Ramai belia OKU di Malaysia sudah mula menceburi bidang teknologi digital, seni kreatif dan keusahawanan sosial. Ada yang membangunkan aplikasi untuk komuniti, ada yang menghasilkan karya seni yang mendapat pengiktirafan antarabangsa, dan ada juga yang melatih rakan senasib untuk berdikari.
Kisah-kisah ini membuktikan bahawa OKU bukan beban, malah terlihat sebagai aset negara. Apa yang diperlukan hanyalah peluang yang adil dan sistem sokongan yang konsisten.
Menjelang merdeka 2025
Tahun ini, ketika Jalur Gemilang berkibar megah di setiap penjuru, marilah kita renungkan makna sebenar kemerdekaan. Merdeka bukan sekadar perayaan tahunan, tetapi satu peringatan bahawa perjuangan membina negara masih berterusan.
Lantas, sekiranya kita benar-benar mahu menjadi negara maju dan berdaya tahan, kita mesti memastikan setiap rakyat, termasuk golongan OKU, dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam pembangunan negara.
Merdeka untuk Malaysia bermakna merdeka untuk semua tanpa mengira keupayaan fizikal, mental atau sensori.
Hal ni sewarjarnya mencerminkan semangat merdeka dalam erti kata sebenar. Semangat Merdeka ialah semangat kebersamaan. Ia adalah janji bahawa tiada seorang pun rakyat Malaysia akan ditinggalkan.
Mengangkat martabat OKU bukan sahaja tanggungjawab moral, tetapi juga strategi pembangunan negara yang harus digalas bersama semua pihak.
Pada hari kita berjaya memastikan setiap OKU mampu berdikari, menyumbang dan dihargai sebagai warganegara setara, barulah kita benar-benar dapat melaungkan “Merdeka!” dengan penuh makna.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Mastura Mahamed
Penyelidik
Institut Pengajian Sains Sosial
Universiti Putra Malaysia
e-mel: