SAUDARA PENGARANG
Tatkala negara melangkah ke usia 68 tahun kemerdekaan Malaysia pada tahun ini, seluruh rakyat harus memahami asas dalam pembinaan sebuah bangsa yang aman, makmur dan bermaruah. Nilai "Kesopanan dan Kesusilaan" yang terasnya berpaksikan kepada kesepaduan hati nurani rakyat menjadi tunjang utama dalam memperkukuh semangat kemerdekaan yang telah diwarisi sejak 31 Ogos 1957.
Dalam mendakap erti kemerdekaan sebenar, bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi lebih kepada kebebasan membina jati diri bangsa yang berlandaskan perpaduan, hormat-menghormati dan keutuhan moral.
Rukun Negara, yang diisytiharkan selepas peristiwa 13 Mei 1969, menjadi tiang kepada pembentukan masyarakat Malaysia yang aman, adil dan progresif. Lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara tidak hanya bersifat falsafah, malah cerminan nilai teras yang perlu dihayati dan dipraktikkan oleh setiap warganegara.
Prinsip kelima, "Kesopanan dan Kesusilaan" merupakan inti pati penting yang sering kali dilihat remeh, namun menjadi pelindung utama kepada keharmonian sosial, khususnya dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Dalam dunia yang semakin terbuka dan sarat dengan cabaran globalisasi, nilai ini semakin penting untuk dijadikan perisai daripada kebejatan sosial dan keruntuhan akhlak nasional.
Lahir daripada Luka, Dibentuk dengan Harapan
Rukun Negara tidak lahir dalam ruang yang kosong malah terbina atas luka sejarah. Tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969 menjadi titik gelap dan terarah pada satu bentuk sejarah negara yang baharu. Dalam usaha menyatukan kembali rakyat yang terbelah oleh sentimen perkauman, kerajaan melalui Majlis Perundingan Negara (MPN) telah menggubal satu falsafah kebangsaan yang menjadi panduan moral dan kerangka perpaduan jangka panjang.
Pada 31 Ogos 1970, bersempena dengan ulang tahun kemerdekaan ke-13, Rukun Negara diisytiharkan secara rasmi oleh Yang di-Pertuan Agong. Di sinilah termeterainya lima prinsip utama, dengan prinsip "Kesopanan dan Kesusilaan" diletakkan sebagai pelengkap dan peneguh kepada prinsip-prinsip sebelumnya.
Ini bukan sekadar prinsip sopan santun, tetapi satu peringatan bahawa peradaban bangsa yang besar lahir daripada akhlak yang luhur. Dalam konteks "Kesopanan dan Kesusilaan", rukun kelima ini mengajak rakyat Malaysia untuk hidup bermasyarakat dengan budi pekerti, tatasusila dan sikap saling menghormati.
Prinsip ini mengangkat martabat manusia yang bukan hanya perlu mementingkan hukum dan perlembagaan, tetapi juga menjunjung nilai budaya, akhlak dan kehalusan budi.
Secara terperincinya, kesopanan bermaksud bertingkah laku dengan adab, berbahasa secara lembut dan bertoleransi terhadap kepelbagaian pendapat serta budaya. Kesusilaan pula melibatkan disiplin moral yang tinggi, tidak menindas, tidak merendahkan maruah orang lain, dan sentiasa menjunjung kebenaran serta keadilan sosial.
Justeru, gabungan dua nilai ini mencerminkan wajah sebenar rakyat Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian, namun tetap teguh dalam satu semangat iaitu saling memahami, saling menghormati, dan saling bertolak ansur demi kesejahteraan bersama.
Peranan Masyarakat Berbilang Kaum
Dalam sebuah negara yang dihuni oleh lebih 34 juta rakyat pelbagai latar belakang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Orang Asli dan pelbagai lagi, prinsip kesopanan dan kesusilaan berperanan sebagai pendakap yang menyatukan semua. Dalam masa sama, menjadi asas komunikasi antara budaya, dan garis panduan bagi menzahirkan empati dan rasa hormat terhadap perbezaan yang wujud.
Malaysia telah membuktikan bahawa kepelbagaian itu bukan kelemahan, tetapi kekuatan. Namun, kekuatan ini hanya dapat dikekalkan apabila rakyat menjadikan adab dan susila sebagai amalan harian.
Menghormati pantang larang agama, menjaga batas dalam gurauan, tidak menyentuh isu sensitif kaum secara terbuka, dan mengekalkan tutur kata yang baik adalah antara bentuk amalan prinsip ini. Lebih dari itu, prinsip ini menjadi benteng kepada anasir kebencian, sikap melampau, dan wacana toksik yang boleh menggugat keharmonian.
Dalam era digital masa kini, apabila ruang maya menjadi pentas utama interaksi sosial, nilai kesopanan menjadi lebih relevan dan mendesak untuk dipertahankan.
Kesopanan Tonggak Pendidikan dan Pembinaan Sahsiah
Salah satu manifestasi paling nyata prinsip ini dapat dilihat dalam sistem pendidikan negara. Subjek seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Sivik dan Pendidikan Islam telah memperkukuh peranan kesopanan sebagai asas kepada pembentukan insan.
Di sekolah, murid-murid diajar untuk menghormati guru, bekerjasama dengan rakan yang berlainan kaum, menyantuni warga emas dan menjiwai nilai murni dalam kehidupan seharian. Prinsip ini perlu dijadikan budaya seperti budaya bercakap benar, menghulur bantuan, meminta maaf dan memaafkan.
Dengan inti pati penuh aura positif ini akan menjadikan Malaysia kekal kukuh jika rakyatnya bukan sahaja berilmu, tetapi juga berbudi. Melihat kepada skop yang lebih luas, negara yang rakyatnya menjunjung kesopanan dan kesusilaan akan dapat membina tamadun yang stabil dan harmoni.
Dalam politik misalnya, kesannya menjurus kepada perdebatan yang matang dan sihat, manakala aspek ekonomi pula dapat membina keyakinan pelabur luar bahawa negara ini aman dan stabil. Bagi kehidupan sosial pula, jurang kebencian dikurangkan dan membina semangat kekitaan yang utuh. Prinsip ini juga memainkan peranan penting dalam membentuk reputasi negara di mata dunia.
Dalam konteks ini, Malaysia sering dijadikan contoh negara Islam moden yang aman dan berbilang bangsa, satu pengiktirafan yang tidak lahir daripada pembangunan infrastruktur semata-mata, tetapi hasil daripada keperibadian rakyatnya yang tinggi nilai kesusilaannya.
Namun, kita tidak dapat menafikan bahawa prinsip ini kini semakin tercabar. Sikap individualistik, budaya menyindir di media sosial, politik kebencian dan penyebaran fitnah menjadi cabaran besar kepada kelangsungan prinsip kesusilaan.
Setiap rakyat memikul tanggungjawab untuk memulihara nilai ini. Para pemimpin harus menunjukkan tauladan, institusi pendidikan perlu memperkukuh pendidikan nilai, media harus bertindak secara beretika, dan masyarakat mesti memainkan peranan menyemai budaya saling menghormati. Ibu bapa perlu memainkan peranan paling penting sebagai institusi pertama pembentukan akhlak harus menanamkan nilai ini sejak usia muda.
Oleh yang demikian, sempena Hari Kebangsaan ke-68, marilah kita semua, tanpa mengira bangsa, agama atau fahaman politik untuk kembali menghayati dan memperkukuh nilai dan prinsip Kesopanan dan Kesusilaan dalam kehidupan seharian. Bertonggakkan jati diri anak bangsa Malaysia, kita mampu menjadikan negara ini lebih baik untuk generasi akan datang. Ini bukan sekadar tuntutan moral, tetapi satu keperluan nasional.
Bangsa yang hilang kesantunannya, hilang masa depannya. Namun bangsa yang kekal menegakkan adab dan susila, akan terus berdiri megah dalam apa jua cabaran zaman.
Justeru, "Kesopanan dan Kesusilaan" bukan sekadar prinsip terakhir Rukun Negara malah denyut nadi yang menyatukan rakyat dalam semangat perpaduan, menjulang Malaysia sebagai sebuah negara merdeka secara zahir, serta bebas daripada keretakan hati dan permusuhan dalam jiwa.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Mardiana Mohamad
Penolong Pengarah Kanan
Bahagian Penerbitan Dasar Negara
Jabatan Penerangan Malaysia
e-mel: