SAUDARA PENGARANG
Bahasa Arab ialah bahasa yang sangat tinggi nilainya mengatasi bahasa-bahasa lain yang wujud di dunia ini. Memang tidak dapat disangkal dan diragui lagi bahawa terdapat pelbagai keistimewaan dan keunikan yang dimiliki olehnya. Setiap huruf, baris, cara sebutan mempunyai keindahan yang tersendiri dan boleh membawa kepada perbezaan makna dan maksud.
Bahasa Arab juga dinamakan sebagai bahasa huruf dhad. Ianya dinamakan sebegitu apabila masuknya orang bukan Arab ke dalam agama Islam dan bercampurnya mereka dengan orang Arab pada awal zaman Abbasiyy. Maka apa yang membezakan mereka yang bukan Arab dengan orang Arab ialah kesukaran mereka dalam menuturkan huruf dhad yang mana mereka cenderung untuk melafazkannya dengan bunyi huruf dal.
Bahasa Arab Sebagai Pembawa Kalam Tuhan
Bahasa Arab telah dipilih oleh Allah SWT untuk membawa kalam-Nya yang suci. Firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 2 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.”
Al-Quran telah diturunkan oleh Allah SWT kepada nabi terakhir yang berbangsa Arab iaitu Nabi Muhammad SAW. Begitu juga ke semua hadis baginda yang diriwayatkan juga adalah dalam bahasa Arab. Jadi, istimewanya bahasa Arab adalah kerana untuk memahami al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW, perlunya penguasaan bahasa Arab yang baik bagi menjamin dan memelihara keaslian maknanya.
Hubungan Bahasa Arab dengan Sains
Bahasa Arab juga secara linguistiknya sangat unik jika dibandingkan dengan bahasa-bahasa yang lain. Ianya merupakan bahasa yang paling jelas, fasih, luas dan tepat untuk menyampaikan sesuatu makna daripada sesuatu kalimah sehinggakan setiap huruf dan perkataan yang digunakan dalam al-Quran boleh membawa maksud yang berbeza.
Sebagai contoh, dalam surah Yunus ayat 5 yang bermaksud, “Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar dan bulan bercahaya”. Allah SWT telah menggunakan kalimah dhiya’ untuk matahari dan nur untuk bulan. Jika diperhatikan kedua-dua kalimah ini merujuk kepada cahaya.
Tetapi dalam konteks ini, dhiya’ merujuk kepada sumber cahaya itu datangnya daripada matahari itu sendiri manakala nur pada bulan itu bermaksud bulan tidak mengeluarkan cahayanya sendiri tetapi memantulkan cahaya daripada matahari.
Begitu indah penggunaan kalimah bahasa Arab dalam al-Quran sehinggakan ianya bertepatan dengan kajian sains yang menyatakan bahawa cahaya yang wujud pada bulan itu ialah cahaya yang dipantulkan daripada matahari.
Bahasa Arab Sebagai Bahasa Ibadah
Sebagai seorang muslim, kita diwajibkan untuk melaksanakan ibadah solat fardhu 5 kali sehari. Adalah menjadi satu kesalahan yang besar jika kita menunaikan solat dengan menggunakan bahasa selain bahasa Arab kerana ianya akan membatalkan keseluruhan solat tersebut. Bermula daripada takbir yang pertama sehingga salam, semua perkataan yang dilafazkan adalah dalam bahasa Arab.
Walaupun lafaz yang diucapkan dalam solat itu dalam bahasa Arab, amatlah rugi jika kita tidak memahaminya langsung. Oleh itu, kita perlulah cuba mempelajari bahasa Arab sekurang-kurangnya untuk memahami setiap apa yang dilafazkan dalam solat. Hal ini bertujuan menambah penghayatan dan kekhusyukan ketika mendirikan solat.
Perubahan Baris Atau Huruf Membawa Kepada Perubahan Makna
Antara keunikan yang terdapat dalam bahasa Arab adalah apabila berlaku perubahan pada huruf maka makna sesuatu kalimah itu akan terus berubah. Umpamanya dalam surah al-Fatihah, jika kita tertukar huruf pada kalimah الحمد kepada الهمد, maka maksud asal kalimah yang bererti pujian akan berubah kepada kehancuran. Perubahan makna ini akan menyebabkan solat menjadi tidak sah dan perlu diulang semula.
Contoh lain, kalimah نعمة dan kalimah نقمة. Kalimah نعمة huruf keduanya ialah ‘ain bermaksud nikmat yang sudah kita sedia maklum manakala نقمة huruf keduanya ialah qaf bermaksud balasan buruk. Cuba bayangkan jika kita sedang berdoa, dalam doa kita, kita memohon nikmat tetapi tersalah pada penggunaan huruf kedua, maka lain pula yang diminta.
Selain itu, perubahan baris juga akan turut memberi kesan kepada keseluruhan makna. Sebagai contoh, dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 2, perkataan بِرّ dengan berbaris bawah membawa maksud kebaikan, iaitu saling menolonglah untuk berbuat kebaikan. Jika kita ubah barisnya kepada baris atas, maka ianya akan membawa maksud darat dan jika baris depan pula akan membawa maksud gandum.
Falsafah Sebutan Huruf dan Makna Kalimah
Jika diperhatikan kepada cara sebutan huruf dan kesukaran menuturkannya juga terdapat rahsia di sebaliknya yang membawa kepada makna perkataan itu sendiri. Sebagai contoh, perkataan عسير dimulakan dengan huruf ‘ain dan يسير dimulakan dengan huruf ya’.
Huruf ‘ain lebih sukar disebut berbanding huruf ya’. Jadi, عسير membawa maksud susah dan يسير pula membawa maksud mudah. Contoh lain pula, perkataanعمل dimulakan dengan huruf ‘ain manakala perkataan أمل dimulakan dengan huruf hamzah.
Jadi, عمل bermaksud pekerjaan dan أمل bermaksud cita-cita. Apakah falsafah di sebaliknya? Bercita-cita itu lebih mudah jika hendak dibandingkan dengan kesusahan menghadapi pekerjaan sebenar.
Salah Faham Masyarakat
Di samping berbicara akan keunikan dan keistimewaan bahasa Arab itu sendiri, namun di Malaysia segelintir masyarakat tersalah faham akan penggunaannya yang menyebabkan kepada kesalah tafsiran akan maksud sebenar perkataan tersebut. Sebagai contoh, penggunaan perkataan muhrim sering dirujuk kepada orang yang tidak boleh dikahwini sedangkan muhrim itu bermaksud orang yang berihram. Penggunaan yang tepat jika kita ingin merujuk kepada orang yang haram dikahwini ialah mahram.
Contoh lain, penggunaan silaturrahmi juga sering disalah tafsir apabila masyarakat kita sering menggunakan istilah ini untuk merujuk kepada apa jua bentuk hubungan erat antara manusia. Sedangkan silaturrahmi ini merujuk kepada hubungan kekeluargaan atau kaum kerabat sahaja. Jadi, jika hubungan sesama kawan-kawan, jiran tetangga dan lain-lain, adalah tidak tepat untuk mengguna pakai istilah silaturrahmi.
Satu lagi penafsiran salah yang telah berkembang luas dalam masyarakat kita pada hari ini ialah fitnah itu lebih besar daripada membunuh. Ramai dalam kalangan kita menafsirkan bahawa jika kita menuduh orang tanpa bukti maka dosanya lebih besar daripada membunuh. Namun, fitnah yang dimaksudkan dalam ayat al-Quran surah al-Baqarah ayat 191 ialah kesyirikan.
Imam at-Thabari dalam tafsirnya menyebut bahawa penentangan kaum kafir musyrikin terhadap orang mukmin sehingga dia kembali menjadi musyrik adalah lebih dahsyat dan lebih memudaratkan berbanding dia dibunuh dalam keadaan dia tetap berpegang teguh pada agamanya iaitu Islam.
Secara keseluruhannya, bahasa Arab sememangnya bahasa yang mempunyai nilai yang sangat tinggi apabila ianya dipilih oleh Allah SWT untuk membawa kalam-Nya yang agung. Begitu juga, hadis Nabi Muhammad SAW juga adalah dalam bahasa Arab dan kunci untuk memahami kedua-duanya ialah penguasaan bahasa Arab.
Selain itu, sebagai seorang muslim, jika dia tidak menggunakan bahasa Arab dalam sehari, bermakna dia tidak menunaikan solat kerana solat fardhu wajib dilafazkan dalam bahasa Arab. Begitu juga, dalam bahasa Arab, perubahan kecil pada baris dan huruf akan memberi impak yang besar pada maknanya. Wallhu’alam.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Mohammad Zariff Afiq bin Zuriman
Pensyarah Matrikulasi
Jabatan Bahasa (Bahasa Arab)
Pusat Matrikulasi
Universiti Islam Selangor
e-mel: