fb fb fb fb fb

Di mana empati kita dalam dunia serba canggih kini?

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Empati ialah kemampuan untuk memahami dan merasai apa yang orang lain sedang alami. Ia bukan sekadar rasa simpati, tetapi keupayaan untuk meletakkan diri kita dalam kasut orang lain serta dapat membayangkan kesakitannya, kegembiraannya, dan sebab di sebalik tindakannya. Tanpa empati, masyarakat jadi keras hati. Kita mungkin pandai berhujah, tetapi gagal memahami hati manusia.

Hari ini, media sosial sepatutnya menjadi jambatan yang menyatukan kita, tetapi semakin lama, ia berubah menjadi medan yang memisahkan. Setiap kali berlaku tragedi seperti kemalangan, bencana, atau isu penderaan, apa yang kita dapat lihat diruangan komen sering dipenuhi dengan kecaman dan tuduhan.

Bukannya doa atau sokongan yang muncul dahulu, sebaliknya soalan yang menyakitkan hati seperti “Kenapa tak hati-hati?”, “Kenapa biar jadi macam ni?”, seolah-olah mangsa perlu dipersalahkan atas nasib mereka sendiri.

Fenomena ini menunjukkan betapa mudahnya empati hilang apabila kita bersembunyi di sebalik skrin. Dalam dunia digital, kita nampak nama pengguna, bukan wajah manusia. Akibatnya, rasa hormat dan belas semakin menipis. Ramai yang mahu menjadi “paling pantas komen”, bukan “paling faham situasi”.

Media sosial pula menambah parah tatkala algoritma atau sistemnya cenderung menaikkan kandungan yang penuh emosi dan kontroversi kerana itulah yang paling banyak mendapat perhatian.

Apabila perkara begini berulang, kita mula membentuk budaya “empati terpilih”. Kita hanya bersimpati dengan mereka yang sehaluan dengan kita sebagai contoh sama pandangan politik, sama bangsa, atau sama kepercayaan. Tetapi terhadap yang berbeza, kita cepat menghukum. Empati tidak lagi bersifat sejagat, sebaliknya menjadi alat untuk menyokong pandangan sendiri.

Namun, bukan semua salah media sosial. Empati sebenarnya boleh dipupuk. Ia bermula dari rumah. Cara ibu bapa bercakap dengan anak, cara kita menyoal orang yang sedang susah. Itu semua dapat membentuk budaya memahami. Jika anak melihat orang dewasa sering mengkritik tanpa mendengar, mereka juga akan membesar tanpa tahu cara berempati.

Di sekolah dan universiti, pelajar boleh dilatih untuk melihat sesuatu isu dari pelbagai sudut. Misalnya, menulis semula berita dari pandangan mangsa, saksi, atau pegawai penyelamat. Ini bukan sekadar latihan bahasa, tetapi latihan hati yang boleh mengajar mereka bahawa setiap kisah ada manusia di sebaliknya. Bagi bakal wartawan, pegawai kerajaan, atau pemimpin muda, kemahiran empati sangat penting. Ia membantu mereka membuat keputusan yang bukan sahaja betul pada kertas, tetapi juga betul pada nilai kemanusiaan.

Dalam dunia pekerjaan dan kepimpinan pula, empati tidak boleh dianggap sebagai kelemahan. Pemimpin yang berempati tidak semestinya lembik atau lambat bertindak. Sebaliknya, mereka lebih berhati-hati dengan kata-kata dan keputusan, memastikan tidak ada pihak yang terluka tanpa sebab. Kadang-kadang, menunggu fakta yang lengkap sebelum memberi kenyataan jauh lebih bermaruah daripada menjadi “orang pertama” yang bercakap.

Kita semua juga boleh memainkan peranan kecil tetapi besar kesannya. Sebelum menulis komen, berhenti sejenak. Fikirlah, adakah kata-kata ini membantu atau menyakiti? Adakah saya akan sanggup mengatakannya jika orang itu berada di depan saya? Jika ragu, lebih baik diam. Tidak semua perkara memerlukan pendapat segera. Kadang-kadang, diam ialah bentuk empati yang paling tinggi.

Media tempatan juga boleh menjadi contoh. Laporan tragedi perlu ditulis dengan hati, bukan sekadar mengejar tajuk sensasi. Identiti mangsa wajar dilindungi, keluarga yang sedang berduka perlu dihormati, dan fakta perlu disemak sebelum disebar. Empati dalam kewartawanan bukan bermaksud “lembut”, tetapi bermakna “berperikemanusiaan”. Berita yang beretika bukan sahaja memaklumkan, tetapi turut mendidik pembaca untuk menjadi manusia yang lebih peka.

Selain itu, empati juga perlu diterjemahkan dalam tindakan. Rasa kasihan tanpa perbuatan hanyalah perasaan kosong. Jika kita benar-benar faham kesusahan orang lain, maka tindakan perlu menyusul sama ada dengan membantu secara langsung, melapor sesuatu yang tidak betul, atau sekadar menyebarkan mesej yang menenangkan. Kadang-kadang, membantu itu sekecil menahan diri daripada menyebar gambar mangsa, atau menulis komen yang menghina.

Kita hidup di zaman yang serba cepat, tetapi empati memerlukan kita memperlahankan langkah. Dunia maya mengajar kita untuk bertindak segera, tetapi hati manusia tidak bergerak secepat algoritma. Ia memerlukan masa untuk memahami, mendengar, dan merenung. Empati bukan sesuatu yang berlaku dalam “like” atau “share”, tetapi dalam kesediaan untuk berhenti sejenak dan bertanya “bagaimana jika itu berlaku pada aku?”

Akhirnya, persoalan yang tinggal bukan sekadar sama ada masyarakat masih ada empati, tetapi sejauh mana kita mahu menanamnya kembali. Adakah kita sanggup menjadi pengguna media sosial yang lebih berhemah dan berhati? Adakah kita berani menegur rakan yang menghina di ruang komen? Adakah kita, sebagai manusia, masih sanggup belajar untuk memahami sebelum menilai?

Empati bukan sekadar perasaan akan tetapi ia cermin kemanusiaan kita. Jika cermin itu retak, pantulan diri kita juga tidak lagi sama. Mungkin sudah tiba masanya kita bertanya semula: adakah kita benar-benar memahami, atau sekadar melihat tanpa rasa?

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR. NOR EZ ZATUL HANANI M ROSLI
Dr. Nor Ez-zatul Hanani Mohamed Rosli
Jabatan Perhubungan Awam
Universiti Tunku Abdul Rahman

DR MOHD YUSOF ZULKEFLINEW
Dr Mohd Yusof Zulkefli
Pensyarah Kanan,
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
Universiti Teknologi MARA (UiTM)

MAT YUNUS BIN SABRI