Tujuh cedera akibat mercun bola, seorang lelaki ditahan

Foto Fail

ALOR SETAR, 23 Mac – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun kerana disyaki bermain mercun bola sehingga menyebabkan tujuh individu cedera, termasuk dirinya dalam kejadian di Tobiar, Pendang, Jumaat lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek ditahan selepas polis menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira 10 pagi pada Isnin.
  • Suspek mengaku bermain mercun bersama enam saudara sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.
  • Mercun dipercayai masuk ke dalam plastik yang mengandungi mercun lain lalu menyebabkan letupan kuat.
  • Beberapa mangsa cedera; semua dirawat sebagai pesakit luar dan seorang dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah kerana kecederaan mata serius.

Ketua Polis Daerah Pendang, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata suspek ditahan selepas pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira 10 pagi pada Isnin.

Menurut siasatan awal, suspek mengaku bermain mercun bersama enam saudara lain sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.

“Mercun yang dinyalakan dipercayai masuk ke dalam plastik mengandungi mercun lain sebelum menyebabkan letupan kuat.

“Letupan itu mengakibatkan enam individu berusia antara 11 hingga 20 tahun yang berada berhampiran lokasi kejadian cedera pada bahagian muka dan badan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kesemua mangsa termasuk suspek dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Pendang, manakala seorang mangsa dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah akibat kecederaan serius pada mata.

Suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial dengan dakwaan berlaku “tragedi pakar bom” di kawasan berkenaan.