Tiga maut, seorang parah dalam nahas di Gua Musang

Foto RTM

GUA MUSANG, 31 Julai – Tiga individu maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki di Jalan Bentong-Kota Bharu, berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gua Musang, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • BBP Gua Musang terima panggilan kecemasan jam 7.16 pagi; lapan anggota dengan dua jentera dikerahkan ke lokasi.
  • Setibanya di lokasi, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan dan operasi menyelamat terhadap mangsa.
  • Pasukan bomba menggunakan peralatan khas hydraulic cutter untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
  • Mangsa cedera diserahkan kepada pasukan KKM untuk rawatan lanjut; mayat mangsa pula diserahkan kepada polis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.16 pagi sebelum lapan anggota bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi dan sebuah lori tangki.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiga mangsa yang berada di dalam Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi penumpang mengalami kecederaan parah.

“Mangsa yang maut terdiri daripada seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki, manakala pemandu lori tangki tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pasukan bomba menggunakan peralatan khas ‘hydraulic cutter’ bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkan mangsa yang cedera kepada pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, mayat ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.