
KUALA LUMPUR, 2 Sept – Seramai 31 warga Indonesia ditahan Jabatan Imigresen (JIM) kerana dipercayai bekerja secara tidak sah dengan sebuah syarikat penyedia perkhidmatan pembersihan rumah di sekitar ibu negara.
- Syarikat didapati mengeksploitasi pekerja asing; menyimpan pasport, membayar gaji di bawah RM1,500, memotong gaji, denda, kerja lebih masa dan kawalan pergerakan.
- Operasi bersepadu agensi penguatkuasaan membawa kepada penahanan pemilik syarikat, penyitaan 20 pasport, wang tunai RM9,400 dan beberapa set komputer.
- Jabatan Imigresen membekukan akaun suspek bawah Akta 613 dan menegaskan tindakan tegas di bawah beberapa akta berkaitan serta mempergiat penguatkuasaan.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban dalam satu kenyataan berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 27 wanita dan empat lelaki.
“Mereka dipercayai bekerja sebagai pekerja pembersihan dan pengangkut, namun tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada serta bekerja di negara ini,” katanya.
Beliau berkata operasi bersepadu dilakukan Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA itu dijalankan bersama JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, JIM Negeri Sembilan, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan (NFCC), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Siasatan awal mendapati syarikat berkenaan menggaji pekerja asing serta mengambil dan menyimpan pasport milik pekerja terbabit.
“Selain itu, pekerja berkenaan menerima gaji minimum di bawah RM1,500, berdepan pemotongan gaji tanpa alasan yang munasabah, dikenakan denda serta penalti tanpa persetujuan, diarahkan bekerja lebih masa dan pergerakan mereka dikawal oleh pihak syarikat,” menurut beliau lagi
Jelasnya, syarikat berkenaan dipercayai merekrut warga asing dari Indonesia dengan menawarkan pekerjaan sebagai pekerja pembersihan, selain menjanjikan kos pengambilan dan perbelanjaan tertentu ditanggung pihak syarikat.
Dalam operasi sama, tiga rakyat tempatan terdiri masing-masing seorang lelaki dan dua wanita dipercayai pemilik syarikat turut ditahan.
“20 pasport milik individu lain, wang tunai RM9,400 serta beberapa set komputer disita untuk membantu siasatan,” tambahnya.
Hasil risikan dan siasatan kewangan JIM turut membawa kepada pembekuan beberapa akaun milik individu dan syarikat yang disyaki menjalankan aktiviti haram di bawah Seksyen 4(1) Kesalahan Penggubahan Wang Haram Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
JIM turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak atau individu yang melanggar undang-undang imigresen dan undang-undang berkaitan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Akta Pasport 1966 (Akta 150), Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613),” tambah beliau lagi.
Kesemua individu yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen KLIA bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Dalam pada itu, JIM akan mempergiat operasi penguatkuasaan secara bersepadu bagi membanteras penggajian pekerja asing secara tidak sah, eksploitasi pekerja serta aktiviti yang melanggar undang-undang negara.