SPRM sita aset bernilai RM9.7 juta babit seleweng dana pelaburan RM300 juta

GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR, 25 Januari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mempergiat siasatan berhubung kes penyelewengan dana pelaburan berjumlah RM300 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM menyita aset bernilai keseluruhan RM9.7 juta berkaitan siasatan penyelewengan dana pelaburan hampir RM300 juta.
  • Sitaan termasuk enam rumah, satu lot tanah dan dua kenderaan mewah; 14 akaun bank turut disita untuk pengesahan baki.
  • Sepuluh saksi telah dirakam percakapan; dua individu direman dan kemudian dibebaskan sementara siasatan diteruskan.

Setakat ini, SPRM telah menyita pelbagai aset yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM9.7 juta.

Sitaan membabitkan enam buah rumah bernilai RM6.54 juta, satu lot tanah berharga RM1.8 juta serta dua buah kenderaan mewah yang dianggarkan bernilai RM1.35 juta.

“Selain aset fizikal, sebanyak 14 akaun bank turut disita dan jumlah keseluruhan baki masih dalam proses pengesahan pihak bank,” menurut sumber.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan seramai 10 orang saksi telah dipanggil untuk dirakam percakapan.

“SPRM sedang giat mengesan saksi-saksi lain bagi membantu melengkapkan siasatan,’ katanya.

Terdahulu, SPRM menahan reman dua individu, masing-masing seorang wanita bergelar Datuk dan seorang lelaki bergelar Tan Sri, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Wanita tersebut dibebaskan pada Sabtu selepas direman selama lima hari, manakala, Tan Sri itu dibebaskan pada Ahad tengah hari selepas direman sejak 22 Januari lalu.

Pada Sabtu, SPRM membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana pelaburan hampir RM300 juta yang dipercayai dikutip antara 2021 hingga 2024 daripada kira-kira 1,700 pelabur bagi tujuan pelaburan terhadap dua syarikat.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan