ALOR SETAR, 6 Januari – Seorang pengarah sebuah institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) di Kedah ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah.
- Pengarah IPTA di Kedah ditahan reman oleh SPRM berhubung dakwaan salah guna kedudukan.
- Dituduh melantik syarikat milik anaknya bagi pembekalan kain batik bernilai kira-kira RM16,000.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009; perintah reman lima hari dikeluarkan.
Wanita itu didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Koperasi dengan melantik syarikat milik anaknya untuk kerja-kerja pembekalan kain batik bernilai kira-kira RM16,000.
Perintah reman selama lima hari sehingga 10 Januari ini terhadap suspek dikeluarkan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek berusia lingkungan 50-an ditahan kira-kira pukul 1.00 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sungai Petani, Kedah.
Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sekitar Ogos 2024, ketika pembekalan kain batik berkenaan bertujuan untuk pembuatan baju batik tenaga pengajar dan kakitangan institusi tersebut.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. Kes disiasat bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.