SPRM reman 11 pegawai agensi penguat kuasa disyaki minta dan terima rasuah

FOTO HIASAN

KUCHING, 4 Februari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak menahan reman 11 pegawai sebuah agensi penguat kuasa di salah sebuah daerah di negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM239,000.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM Sarawak menahan 11 pegawai penguat kuasa disyaki minta dan terima rasuah kira-kira RM239,000.
  • Suspek ditahan dari usia 20 hingga 40-an; penerimaan rasuah antara RM2,400 hingga RM45,000 melalui akaun isteri dan orang tengah.
  • Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009; perbuatan didakwa berlaku antara 2020 hingga 2025.

Rasuah tersebut dipercayai sebagai balasan untuk menjaga keselamatan, tidak mengugut serta memudahkan urusan melibatkan beberapa orang banduan.

Menurut sumber, Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad membenarkan enam suspek direman selama empat hari sehingga Jumaat ini.

Empat suspek lagi direman selama lima hari sehingga Sabtu, manakala seorang suspek direman tiga hari sehingga Khamis, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Bintulu, pada Selasa.

“Kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40-an ditahan antara pukul 11.50 pagi hingga 4.00 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Bintulu,” menurut SPRM Sarawak dalam satu kenyataan.

Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2020 hingga 2025 dengan meminta rasuah daripada ahli keluarga banduan.

“Kesemua suspek dipercayai menerima wang rasuah antara RM2,400 hingga RM45,000 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank milik isteri serta orang tengah,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.