Polis tumpas geng curi minyak diesel waktu malam

Tiga lelaki tempatan ditahan dipercayai terlibat kecurian minyak diesel di Bintulu/Foto Polis Bintulu

BINTULU, 2 Mac – Tiga lelaki tempatan ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan kecurian minyak diesel menerusi Op Lusuh yang dijalankan pada 25 hingga 26 Februari lalu di sekitar bandar ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga lelaki tempatan ditahan dipercayai terlibat kecurian minyak diesel di Bintulu.
  • Operasi Op Lusuh dijalankan 25 hingga 26 Februari hasil risikan dan maklumat awal.
  • Dua kenderaan sedan disita dipercayai digunakan untuk mencuri minyak pada waktu malam.
  • Dua suspek mempunyai rekod jenayah; kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Bintulu Supt Nixon Joshua Ali berkata suspek berusia antara 22 hingga 32 tahun itu diberkas di lokasi berasingan hasil risikan dan maklumat awal.

Polis turut menyita dua kenderaan sedan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kumpulan terbabit aktif melakukan kegiatan itu pada waktu malam dengan menggunakan kenderaan persendirian untuk mencuri minyak diesel.

“Semakan rekod lampau mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah termasuk kes dadah dan pecah rumah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.