IPOH, 31 Januari -Seorang lelaki warga emas ditahan polis, kerana disyaki terlibat dalam kematian seekor anjing liar di Pusing dekat Batu Gajah, Rabu lepas.
- Seorang lelaki warga emas, 64 tahun, ditahan disyaki terbabit dalam kematian seekor anjing liar di Pusing.
- Kejadian dilaporkan berlaku 28 Jan sekitar 7.30 malam; anjing ditemui mati dengan mulut berlumuran darah.
- Permohonan reman akan dibuat untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.
- Polis menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi dan diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Md Noor Aehawan Mohammad dalam kenyataan berkata, suspek, 64 tahun ditahan di Pusing pada 11 malam tadi selepas pihaknya menerima laporan kematian anjing itu 9.30 pagi semalam.
“Kejadian dipercayai berlaku pada 7.30 malam 28 Jan apabila penduduk setempat mendengar bunyi letupan kuat dan mendapati anjing itu mati terbaring di jalan raya dalam keadaan mulut berlumuran darah,” katanya dalam kenyataan.
Md Noor Aehawan berkata permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.
Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu, yang turut tular di media sosial, selain meminta semua pihak untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah.