Polis tahan 19 individu, termasuk dua suspek utama kes himpunan GARAH

Sidang Media Ketua Polis Kuala Lumpur / FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 8 Februari – Polis menahan 19 individu termasuk dua suspek utama, bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang berlangsung di hadapan sebuah kompleks beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, malam Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis menahan 19 individu termasuk dua suspek utama berkaitan perhimpunan GARAH untuk membantu siasatan.
  • Dua suspek utama adalah penyelaras Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri ditahan di bawah beberapa seksyen undang-undang.
  • Perhimpunan sekitar 100 orang dibatalkan kerana penilaian risiko dan 131 laporan polis berhubung ancaman keselamatan.
  • Polis menahan tiga individu di Klang Utara kerana muat naik hasutan di TikTok dan menasihatkan orang ramai elak provokasi 3R.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus, kesemua individu yang ditahan merupakan warga tempatan berusia antara 30 hingga 64 tahun, terdiri daripada 15 lelaki dan empat wanita.

“Daripada 19 tangkapan yang dibuat, polis menjalankan tangkapan bawah Seksyen 105 Kanun Tatacara Jenayah bagi mencegah sebarang kejadian yang lebih buruk atau perkara yang tidak diingini daripada berlaku,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Jelas beliau, dua individu utama yang ditahan ialah penyelaras perhimpunan Zamri Vinoth serta seorang aktivis Tamim Dahri Abdul Razak bagi membantu siasatan bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 [Akta 15], Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kedua-dua suspek utama itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi permohonan reman untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Dalam pada itu, Datuk Fadil berkata, perhimpunan yang disertai kira-kira 100 individu itu bertujuan mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap isu pembinaan rumah ibadat yang didakwa dibina tanpa kebenaran, namun tidak diluluskan polis atas faktor keselamatan.

“Permohonan penganjuran perhimpunan telah diterima pada 5 Februari lalu dan sesi libat urus turut diadakan. Namun, hasil penilaian risiko dan siasatan mendapati wujud laporan ancaman keselamatan, termasuk 131 laporan polis, menyebabkan polis mengambil tindakan untuk tidak meneruskan perhimpunan berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, polis turut menahan tiga lelaki tempatan berketurunan India di Klang Utara selepas dipercayai memuat naik kandungan berunsur hasutan di aplikasi TikTok berkaitan isu sama.

Ketiga-tiga suspek yang mempunyai rekod lampau itu direman selama sehari bagi membantu siasatan bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

“Ini adalah demi kesejahteraan negara, justeru orang ramai dinasihatkan agar tidak menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) atau perkara sensitif yang berunsur hasutan kerana ia boleh mengugat ketenteraman awam dan keselamatan orang ramai,” jelasnya.

Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan provokasi di media sosial serta menyalurkan sebarang aduan melalui saluran undang-undang yang betul bagi mengelakkan tindakan undang-undang dikenakan.