Penguatkuasaan diperketat, 465 kenderaan perdagangan disita tahun lalu

Anggota JPJ memeriksa sebuah lori dalam Op Khas Kenderaan Lebih Muatan


SEPANG, 8 Januari
-Penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan diperketat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) apabila 465 kenderaan disita sepanjang 2025, berbanding hanya 69 sitaan pada tahun sebelumnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan kenderaan perdagangan meningkat ketara dengan tindakan penguatkuasaan lebih meluas sepanjang 2025.
  • Kesalahan utama termasuk muatan berlebihan, kenderaan tidak diselenggara, dan ketiadaan lesen vokasional atau lesen memandu kompeten.
  • Op Khas Kenderaan Lebih Muatan dan penguatkuasaan SLD akan diteruskan tanpa kompromi sepanjang 2026.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sebanyak 1.2 juta kenderaan perdagangan diperiksa tahun lalu, dengan 240,493 kenderaan diambil tindakan menerusi Op Khas Kenderaan Lebih Muatan di seluruh negara.

“Pemeriksaan kenderaan perdagangan pada 2025 meningkat sebanyak 35.5 peratus, manakala tindakan penguatkuasaan meningkat 47.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sitaan kenderaan pula mencatat peningkatan drastik sebanyak 85.2 peratus,” katanya pada sidang media di R&R Dengkil arah utara, malam tadi.

Jelas beliau, antara kesalahan utama dikesan ialah membawa muatan melebihi had dibenarkan, gagal mematuhi notis pemeriksaan berkala, tiada lesen vokasional, tiada lesen memandu kompeten serta kenderaan tidak disenggara.

Menurutnya, fokus operasi adalah pematuhan had muatan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, penguatkuasaan teknikal dan penggunaan Speed Limitation Device (SLD) bagi mengurangkan risiko kemalangan.

“Tiada kompromi akan diberikan terhadap pelanggaran undang-undang. Op Khas Kenderaan Lebih Muatan akan diteruskan sepanjang 2026 secara berkala dan bersasar,” katanya lagi.