Pendakwaan tidak bantah permohonan Zahid bebas 47 tuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Februari – Pendakwa Raya tidak membantah permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk dilepaskan tanpa dibebaskan (DNA) daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendakwa Raya tidak memfailkan afidavit jawapan dan menyerahkan keputusan kepada mahkamah.
  • Mahkamah menangguhkan keputusan sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.
  • Tarikh pendengaran permohonan DNA ditetapkan pada 24 April; semakan kehakiman dijadual 8 April.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad di Mahkamah Tinggi, yang menyatakan pihak pendakwaan tidak memfailkan sebarang afidavit jawapan terhadap permohonan yang difailkan pada 28 Januari lalu dan hanya diarahkan hadir pada prosiding hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima bantahan daripada Badan Peguam terhadap permohonan tersebut, namun menegaskan tiada bantahan daripada pihak Pendakwa Raya dan menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi, Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor memutuskan mahkamah tidak akan membuat sebarang keputusan berhubung permohonan itu buat masa ini.

Ini kerana mahkamah perlu menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan Badan Peguam.

Permohonan itu mencabar tindakan Peguam Negara memberhentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid dan dijadualkan didengar pada 8 April ini.

Hakim kemudian menetapkan 24 April depan bagi pendengaran permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan perintah DNA terhadap 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi.