Pegawai Imigresen cedera dirempuh dalam serbuan pusat hiburan

48 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan JIM di sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Februari – Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia cedera selepas dirempuh seorang warga asing dalam operasi penguatkuasaan di sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang, di sini awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pegawai Imigresen cedera selepas dirempuh oleh warga asing semasa operasi, dilaporkan stabil tetapi disyaki patah kaki kiri.
  • Operasi bermula 3.15 pagi melibatkan 85 pegawai termasuk 15 anggota PASTAK di Bukit Bintang.
  • Daripada 98 diperiksa, 48 warga asing ditahan atas kesalahan tinggal melebihi tempoh dan tiada dokumen sah.
  • Dua lelaki Nigeria ditahan disyaki menyalahgunakan pas pelajar sebagai DJ; premis juga disyaki menggunakan wanita asing untuk tempahan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Basri Othman berkata dalam operasi bermula 3.15 pagi, pegawai itu disyaki patah kaki kiri dan suspek kemudiannya melarikan diri.

“Suspek bertindak agresif semasa keadaan kelam-kabut di tangga premis sehingga pegawai kami terjatuh. Pegawai itu dikejarkan ke hospital dan dilaporkan stabil,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Basri berkata operasi melibatkan 85 pegawai dan anggota termasuk 15 daripada Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) dengan 48 daripada 98 warga asing yang diperiksa ditahan atas pelbagai kesalahan.

Antara kesalahan itu ialah tinggal lebih masa dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dengan mereka terdiri daripada warga Myanmar, Thailand dan beberapa negara Afrika.

Selain itu, Basri berkata dua lelaki Nigeria ditahan kerana disyaki menyalahgunakan pas pelajar dengan bekerja sebagai pengacara lagu (DJ).

“Mereka dikesan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas,” katanya.

Basri berkata kebanyakan pengunjung dalam keadaan khayal dipercayai akibat alkohol ketika pemeriksaan dijalankan.

Siasatan awal juga mendapati premis itu menggunakan khidmat wanita warga asing yang menerima tempahan dan menetapkan kadar bayaran melalui telefon.

Kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.-BERNAMA