
KUALA LUMPUR, 9 Mac -Satu sindiket pecah rumah di Pulau Pinang lumpuh, dipercayai terlibat dengan sekurang-kurangnya 42 jenayah sehingga menyebabkan kerugian mencecah RM 1 juta menerusi Op Shadow.
- Lapan ahli sindiket dikenalpasti, diketuai lelaki tempatan berusia 27 tahun.
- Lima suspek ditangkap pada 15 Februari dan ditahan bawah SOSMA, tiga lagi dalam tahanan atas kesalahan lain.
- Kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara; lapan ahli akan dituduh bawah Seksyen 130V(1), hukuman lima hingga 20 tahun.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kumpulan yang diketuai lelaki tempatan berusia 27 tahun bersama tujuh ahli lain berumur antara 22 hingga 35 tahun itu dipercayai aktif sejak 2024 hingga Oktober 2025.
Beliau berkata, kumpulan diketuai seorang lelaki warga tempatan berumur 27 tahun itu mempunyai keahlian seramai lapan orang berusia dalam lingkungan 22 hingga 35 tahun.
“Dalam operasi yang dijalankan pada 15 Februari lalu, lima suspek berusia 22 hingga 26 tahun ditangkap dan kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) SOSMA 2012 manakala tiga lagi suspek berusia antara 23 hingga 31 tahun sudah dikenal pasti dan ketika ini berada dalam tahanan di Penjara Jawi, Pulau Pinang serta Penjara Alor Setar, Kedah atas kesalahan lain.
“Kesemua tangkapan mempunyai rekod kesalahan lampau seperti rompak berkumpulan, pecah rumah, curi dalam bangunan, curi kenderaan, mendatangkan kecederaan, khianat, memiliki dan melupuskan barangan curi serta aktiviti penagihan dadah,” katanya dalam satu kenyataan.
Datuk M. Kumar berkata, Siasatan mendapati kumpulan tersebut menyasarkan rumah di kawasan perumahan mewah berpagar dan kawasan perumahan biasa sebelum melarikan barangan berharga seperti barang kemas, barangan elektronik dan wang tunai.
Penahanan kesemua suspek membolehkan polis menyelesaikan 42 kes serta melumpuhkan sindiket tersebut.
“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 6 Mac dan kesemua lapan ahli kumpulan akan dituduh di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun. Pertuduhan dijangka dibuat di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang pada 10 Mac 2026,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, PDRM komited untuk terus menumpaskan semua bentuk kumpulan jenayah terancang melalui pelaksanaan operasi bersepadu, risikan dan penguatkuasaan undang-undang secara berterusan.
Pihaknya akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terbabit dalam jenayah terancang demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan awam.