
KUALA KEDAH, 8 Februari – Cubaan menyeludup benih kerang secara haram ke negara jiran berjaya digagalkan apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menahan sebuah bot kayu dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kedah, 6 Februari lalu.
- Agensi Maritim Kuala Kedah menahan bot kayu dan seorang warga Thailand tanpa dokumen pengenalan sah.
- Dakwaan membawa benih kerang dalam kuantiti besar tanpa permit Jabatan Perikanan.
- Dua lelaki tempatan dan dua kenderaan 4x4 ditahan berkaitan pengangkutan benih kerang.
- Kes disiasat bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen; barangan bernilai sekitar RM132,000 dibawa untuk siasatan.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot berkenaan dikesan pada kedudukan kira-kira 1.6 batu nautika barat Kuala Tunjang sekitar pukul 1.40 petang hasil risikan Unit Risik Maritim Negeri Kedah dan Perlis bersama Zon Maritim Kuala Kedah serta Zon Maritim Kuala Perlis.
Menurut beliau, bot tersebut dilihat bergerak menuju ke daratan sebelum cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.
“Bot PERKASA 1226 berjaya memintas bot kayu berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga Thailand berada di atas bot tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, bot tersebut turut disyaki membawa benih kerang dalam kuantiti besar tanpa kebenaran bertulis atau permit sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia.
Dalam operasi sama, dua lelaki tempatan turut ditahan di Jeti Kerpan bersama dua buah kenderaan pacuan empat roda (4×4) yang dipercayai digunakan bagi tujuan pengangkutan benih kerang tersebut.
Bot, benih kerang dan kenderaan yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM132,000 telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63 kerana membawa benih kerang tanpa kebenaran bertulis dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Zon Maritim Kuala Kedah menegaskan pihaknya akan terus mempertingkatkan rondaan dan operasi penguatkuasaan di perairan negara serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti perikanan haram, penyeludupan atau jenayah maritim.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di 04-731 0579 untuk tindakan segera.