Lelaki tempatan ditahan, disyaki simpan dan jual mercun haram – PGA

Foto PGA

KUALA LUMPUR , 17 Januari– Seorang lelaki tempatan berusia 40-an ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras dalam Op Taring Charlie, atas kesalahan menyimpan dan menjual mercun tanpa permit sah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan Gerakan Am merampas 45 kotak mercun pelbagai jenis, nilai anggaran lebih RM58,950.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 114 Akta Kastam 1967.
  • PDRM menggesa orang awam melaporkan aktiviti haram; PGA komited membanteras ancaman keselamatan awam.

Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 19 PGA, ACP Rajab Ahad Ismail dalam satu kenyataan, sebanyak 45 kotak mercun pelbagai jenis dirampas, dengan anggaran nilai keseluruhan mencecah lebih RM58,950.

Jelas ACP Rajab, penahanan dibuat pada 9 Januari lalu, sekitar pukul 1.00 pagi di Sijangkang, Telok Panglima Garang, Banting, Selangor.

“Semasa pemeriksaan dibuat, pasukan telah menjumpai beberapa jumlah kotak yang mengandungi pelbagai jenis mercun/bunga api di dalamnya yang disimpan didalam sebuah bilik di rumah tersebut,” kata kenyataan itu.

Kesemua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuala Langat untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 114, Akta Kastam 1967.

Tambah kenyataan itu, orang awam disaran untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi membantu usaha penguatkuasaan.

“Pihak Briged Tengah Pasukan Gerakan Am dan Batalion 19 Pasukan Gerakan Am akan terus komited dalam membanteras sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang serta yang boleh mengancam keselamatan awam dan ketenteraman negara,” tambah kenyataan itu.