KPWKM siasat dakwaan salah urus dana, keselamatan pelatih PPDK Taman Wahyu

Foto FB Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

PUTRAJAYA, 5 April – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menangguhkan penyaluran geran kepada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Taman Wahyu di Kuala Lumpur susulan siasatan terhadap dakwaan ketidakpatuhan pengurusan dana bantuan serta isu keselamatan pelatih.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan Inspektorat JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur jalankan siasatan pada 4 Disember ikut Tatacara WP10.3.
  • Siasatan awal mendapati unsur kecuaian, insiden 11 Mac menjejaskan keselamatan pelatih; petugas direhatkan sementara.
  • Isu tular di media sosial, aduan bantuan RM500 tidak disalurkan dan laporan polis mengenai pelatih cedera dipercayai ditinggalkan tanpa pengawasan.

KPWKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan telah dijalankan oleh Pasukan Inspektorat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 4 Disember lalu susulan aduan awal selaras dengan Tatacara Pengurusan Kehilangan dan Hapuskira Wang Awam WP10.3.

“Susulan siasatan yang dijalankan dan sebagai langkah pencegahan dan memastikan integriti pengurusan dana awam terpelihara, penyaluran geran bagi sesi 2026/2027 telah ditangguhkan sehingga hasil siasatan muktamad diperoleh.

“Siasatan awal turut mendapati terdapat unsur kecuaian sehingga menjejaskan keselamatan pelatih dalam satu insiden pada 11 Mac lepas.

“Petugas terbabit telah direhatkan sementara siasatan lanjut dilakukan,” menurut kenyataan itu.

Isu berkaitan ketidakpatuhan pengurusan dana dan kelemahan pengurusan pelatih di PPDK Taman Wahyu tular di media sosial pada 3 April lalu.

Seorang pengguna aplikasi Threads mendakwa bantuan kewangan sebanyak RM500 untuk anaknya yang juga pelatih Orang Kurang Upaya belum disalurkan.

Satu laporan polis turut dibuat oleh wanita itu yang mendakwa anaknya cedera selepas terjatuh daripada kerusi sorong ketika dipercayai ditinggalkan tanpa pengawasan oleh petugas pusat berkenaan.