KPDN Pahang gempur stor haram LPG

Foto KPDN Pahang

BENTONG, 23 Jun – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang menggempur stor penyimpanan haram gas petroleum cecair (LPG) dalam operasi khas Ops Tiris 4.0 Bersepadu di sini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan menemukan 829 tong LPG pelbagai kapasiti disimpan dalam sebuah lori semi treler.
  • Premis tidak memiliki lesen atau kebenaran sah daripada Pengawal Bekalan.
  • Penguat kuasa menyita LPG, tong, dokumen dan kenderaan; nilai sitaan dianggarkan melebihi RM400,000; kes di bawah Seksyen 20(1) Akta 122.

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata menerusi hasil risikan selama dua minggu serta maklumat awam itu membawa kepada pemeriksaan sebuah kawasan berpagar yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan barang kawalan berjadual.

Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 829 tong LPG pelbagai kapasiti disimpan di dalam sebuah lori semi treler.

“Siasatan awal mendapati premis berkenaan tidak memiliki lesen atau kebenaran sah daripada Pengawal Bekalan untuk menyimpan barang kawalan berjadual seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang,” katanya.

Pihak penguat kuasa kemudian menyita LPG, tong gas, dokumen berkaitan serta motolori bersama semi treler terbabit dengan nilai sitaan dianggarkan melebihi RM400,000.

Kes disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana disyaki menyimpan barang kawalan berjadual di premis yang tidak dilesenkan atau tanpa kebenaran sah daripada Pengawal Bekalan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.