Kes ugutan Zamri Vinoth: Polis tahan empat lagi suspek

PDRM

BUKIT MERTAJAM, 10 Mac – Polis Pulau Pinang menahan empat lagi lelaki bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah dan khianat terhadap kenderaan milik aktivis, Zamri Vinoth, di Taman Aston Acacia, Sabtu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah suspek yang ditahan setakat ini ialah enam orang.
  • Semua suspek berusia antara 29 dan 31 tahun serta mempunyai rekod jenayah lampau.
  • Polis menyiasat rakaman langsung TikTok yang memaparkan kenyataan provokatif; kes disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, mengesahkan bahawa kesemua suspek yang berusia antara 29 hingga 31 tahun itu ditahan dalam satu operasi khas sekitar jam 2.30 pagi tadi.

Penangkapan terbaharu ini menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan setakat ini seramai enam orang.

Hasil semakan rekod mendapati kesemua suspek mempunyai sejarah jenayah lampau.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak polis menjalankan siasatan terperinci terhadap satu rakaman video secara langsung di aplikasi TikTok yang memaparkan Zamri Vinoth.

Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur provokasi dan menyentuh sensitiviti perkauman dalam hantaran tersebut.

Kes disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.