
JOHOR BAHRU, 30 Mac – Seorang kakitangan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas 16 pertuduhan pecah amanah.
- Harta PPK Kota Tinggi Timur dilaporkan hilang bernilai RM141,872 dalam tempoh lima tahun.
- Pengurus ladang didakwa menjual BTS sawit dan memasukkan hasil jualan ke akaun peribadi antara 26 April 2021 hingga 15 November 2022.
- Kes dibawa di mahkamah, pendakwaan bawah Seksyen 403 dan 406, ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin; sebutan 30 April.
Ia membabitkan harta Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kota Tinggi Timur sebanyak RM141,872, sejak lima tahun lalu.
Pengakuan itu dibuat Mohammad Faiz Ibrahim, 36 tahun, di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Tertuduh yang juga Pengurus Ladang di PPK Kota Tinggi Timur didakwa menggunakan harta syarikat untuk kegunaan sendiri dengan menjual Buah Tandan Segar (BTS) sawit bernilai antara RM2,000 hingga RM14,000.
Kesalahan dilakukan di pejabat PPK Kota Tinggi Timur antara 26 April 2021 hingga 15 November 2022.
Tertuduh didakwa mengaut keuntungan peribadi daripada hasil jualan dengan memasukkan wang ke akaun sendiri.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 403 dan 406 Kanun Keseksaan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa SPRM, Alice Voon Mei Ling, manakala tertuduh diwakili Peguam Asiah Abd Jalil.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, sebutan kes ditetapkan 30 April depan.