
KANGAR, 28 Januari– Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis menyita 430 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi 1kg yang dianggarkan bernilai RM1,075, hasil serbuan ke atas sebuah kedai runcit, di sini.
- KPDN Perlis menyita 430kg minyak masak peket bersubsidi selepas aduan kedai jual dengan syarat tertentu.
- Uji beli oleh anggota berpakaian preman mendedahkan pembeli perlu beli barangan lain dahulu.
- Siasatan dijalankan bawah Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961; tindakan tegas dan penalti boleh dikenakan.
Pengarah KPDN Perlis, Rohaida Hassan dalam kenyataan berkata tindakan itu diambil susulan aduan awam berhubung dakwaan sebuah kedai runcit menjual minyak masak peket bersubsidi 1kg kepada pelanggan dengan mengenakan syarat tertentu.
Menurut beliau, tindakan awal dilaksanakan dengan menghantar anggota berpakaian preman bagi menjalankan uji beli di premis berkenaan.
“Ketika uji beli dilakukan, pemilik premis memaklumkan bahawa pembeli perlu membeli barangan lain terlebih dahulu sebelum dibenarkan membeli minyak masak peket bersubsidi 1kg,” katanya dalam satu kenyataan.
Hasil uji beli itu kemudian dimaklumkan kepada pasukan serbuan sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan ke atas premis terbabit, seterusnya membawa kepada penyitaan 430kg minyak masak peket bersubsidi untuk tindakan lanjut.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 19, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan tindakan serta penalti mengikut peruntukan akta berkenaan.
Dalam pada itu, KPDN Perlis memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menjual minyak masak peket bersubsidi 1kg dengan mengenakan sebarang syarat kepada pengguna.