Imigresen pergiat Operasi Inspektorat Penguatkuasaan; 823 warga asing diperiksa

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli menyertai operasi Inspektorat Penguatkuasaan sekitar ibu kota. Foto RTM

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan operasi Inspektorat Penguatkuasaan berskala khas menyasarkan kawasan tumpuan warga asing di sekitar ibu kota hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • 823 warga asing diperiksa secara rawak di Masjid Jamek dan Jalan Silang.
  • Kesemua individu mempunyai dokumen perjalanan dan pas lawatan sah, termasuk warga Myanmar, Bangladesh, Pakistan dan Jerman.
  • Tiada tangkapan direkodkan; pemantauan konsisten diteruskan oleh 52 pegawai Ibu Pejabat JIM.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli, memaklumkan bahawa seramai 823 warga asing telah diperiksa secara rawak dalam operasi yang tertumpu di sekitar Masjid Jamek dan Jalan Silang.

Beliau mengesahkan bahawa kesemua individu yang diperiksa, termasuk warganegara dari Myanmar, Bangladesh, Pakistan, dan Jerman, memiliki dokumen perjalanan serta pas lawatan yang sah untuk berada di negara ini bagi tujuan pelancongan mahupun pekerjaan.

“Program yang kita laksanakan pada hari ini dijalankan secara harian di seluruh negara dengan fokus terhadap kawasan-kawasan ‘hotspot’.

Langkah ini amat mustahak bagi memastikan setiap warga asing yang berada di dalam negara sentiasa mematuhi undang-undang di bawah Akta Imigresen,” jelas beliau semasa meninjau operasi tersebut.

Meskipun tiada sebarang tangkapan direkodkan, JIM menegaskan bahawa pemantauan konsisten terus dilaksanakan oleh unit penguatkuasaan bagi mengekang penyalahgunaan pas atau pelanggaran syarat permit.

Operasi digerakkan 52 pegawai dari Ibu Pejabat JIM Putrajaya.