Dua Vesel Nelayan tempatan ditahan Maritim Malaysia di perairan Langkawi

Foto FB Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

LANGKAWI, 8 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis menahan dua buah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang disyaki melanggar syarat lesen dalam operasi rondaan di perairan Tanjung Chinchin, di sini semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Vesel dan kru ditahan disyaki melanggar Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
  • Rampasan melibatkan vesel, peralatan dan kru dianggarkan bernilai melebihi RM1 juta dan dibawa ke Jeti Maritim untuk siasatan.
  • Maritim Malaysia tidak akan berkompromi; orang ramai diminta melaporkan maklumat jenayah atau kecemasan di laut melalui 999 atau talian 04-9662750.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Romli Mustafa berkata penahanan dilakukan kira-kira pukul 2.45 petang pada kedudukan lebih kurang 8.2 batu nautika barat laut Tanjung Chinchin.

Beliau berkata kedua-dua vesel berkenaan ditahan bersama dua tekong dan lima kru warga Thailand berumur antara 32 hingga 67 tahun yang sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika dari pantai selain melanggar Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Romli berkata anggaran keseluruhan nilai rampasan melibatkan kedua-dua vesel, peralatan menangkap ikan serta kru yang ditahan dianggarkan melebihi RM1 juta.

Menurutnya, kesemua tahanan dan barang rampasan telah dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kedah dan Perlis untuk siasatan lanjut.

Beliau menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut diminta menyalurkannya melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750.