
TUMPAT, 7 Februari – Dua lelaki ditemukan mati lemas di Sungai Kelantan berhampiran Kampung Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Tumpat petang semalam.
- Dua mayat lelaki ditemui terapung berhampiran Kampung Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Tumpat petang Jumaat.
- Pusat Kawalan IPD Tumpat terima dua laporan berasingan pada kira-kira 7.00 pm dan 7.55 pm.
- Mayat berusia 31 dan 42 tahun dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tumpat; bedah siasat sahkan punca kematian lemas.
- Orang ramai diminta tampil dengan maklumat kepada IPD Tumpat di talian 09-725 7222 atau ke balai polis.
Ketua Polis Daerah Tumpat, ACP Mohd Khairi Shafie berkata, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat menerima dua laporan berasingan berhubung penemuan mayat tersebut pada jam kira-kira 7.00 petang dan 7.55 petang Jumaat.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati kedua-dua mayat terapung di tepi tebing sungai dengan jarak kira-kira 100 meter antara satu sama lain.
Mangsa berusia 31 tahun dan 42 tahun.
Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kesan kecederaan luaran pada tubuh mangsa.
Dalam kenyataan media katanya, kedua-dua mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tumpat untuk tindakan lanjut, dan hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat lemas.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Tumpat di talian 09-725 7222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.