
SEPANG, 20 Januari — Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merampas gamat kering yang diimport tanpa permit bernilai anggaran RM203.99 dalam satu pemeriksaan di Zon Perdagangan Bebas (Free Commercial Zone, FCZ) Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Isnin lalu.
- AKPS merampas gamat kering di Zon Perdagangan Bebas KLIA selepas pemeriksaan Bahagian Pemeriksaan Barangan Kargo.
- Gamat diimport dari Korea oleh individu tempatan tanpa Permit Import MAQIS yang sah.
- Satu kotak seberat empat kilogram dirampas dan ditahan untuk siasatan lanjut.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.
Rampasan itu dilakukan oleh AKPS KLIA melalui Bahagian Pemeriksaan Barangan Kargo kira-kira pukul 9.38 pagi pada 19 Januari lalu.
“Hasil semakan mendapati komoditi berkenaan diimport dari Korea oleh seorang individu tempatan dan tidak disertakan dengan Permit Import MAQIS yang sah.
“Susulan itu, sebanyak satu kotak gamat kering dengan berat keseluruhan empat kilogram dan bernilai anggaran RM203.99 telah dirampas untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu pada Selasa (20 Januari).
Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) berkaitan pengimportan tanpa Permit Import MAQIS.
“Semua barangan rampasan telah ditahan mengikut prosedur yang ditetapkan bagi tujuan siasatan lanjut,” tambah kenyataan itu.