
BUKIT KAYU HITAM, 30 Januari – Cubaan membawa masuk pelbagai jenis makanan tanpa pengikraran kepada pihak kastam berjaya digagalkan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menerusi Unit Mesin Pengimbas Kargo (UMPK).
- AKPS menggagalkan cubaan membawa masuk pelbagai makanan tanpa pengikraran melalui pemeriksaan UMPK di ICQS Bukit Kayu Hitam.
- Barang dirampas termasuk beras, tepung beras, serbuk perasa dan mi segera, nilai keseluruhan dianggarkan RM10,400.
- Tiada tangkapan dibuat; barangan ditahan untuk tindakan lanjut dan AKPS tegas meneruskan penguatkuasaan tanpa kompromi.
Operasi pemeriksaan itu dijalankan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Kayu Hitam (ICQS), Kedah.
Rampasan dilakukan kira-kira pukul 10 malam tadi hasil pemeriksaan terhadap sebuah lori yang melalui laluan import.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin Md Nasir berkata, pemeriksaan lanjut mendapati konsainan berkenaan mengandungi pelbagai jenis makanan yang tidak diikrarkan kepada pihak berkuasa.
Antara barangan yang dirampas ialah tepung beras, beras wangi, beras pulut, serbuk perasa berperisa ayam serta mi segera berperisa tomyam udang.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM10,400 berdasarkan harga semasa pasaran tempatan.
Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan individu dibuat semasa operasi rampasan dijalankan.
Kesemua barangan rampasan ditahan dan disimpan di stor UMPK bagi tujuan tindakan lanjut mengikut prosedur dan peraturan sedia ada, sementara menunggu bayaran kompaun yang ditetapkan.
Menurut Mohd Nasaruddin, kejayaan rampasan itu membuktikan tahap kesiapsiagaan dan kecekapan pegawai AKPS dalam melaksanakan pemeriksaan menyeluruh di pintu masuk negara.
AKPS menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan membawa masuk barangan tanpa pengikraran yang sah serta akan meneruskan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang dan melindungi kepentingan negara.