
RANAU, 4 Mac – Seramai 29 pendatang asing tanpa izin PATI ditangkap dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di tiga lokasi berasingan sekitar daerah ini pada Selasa kerana disyaki melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
- 29 pendatang asing tanpa izin ditahan selepas pemeriksaan di tiga lokasi sekitar Ranau.
- Kesemua ditahan ialah warganegara Filipina, termasuk dewasa dan kanak-kanak.
- JIM Sabah akan ambil tindakan tegas terhadap mereka yang melindungi atau menggaji PATI.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menerusi satu kenyataan memaklumkan, operasi membabitkan 18 pegawai itu turut mendapat kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Ranau.
“Hasil pemeriksaan terhadap 41 individu, seramai 29 PATI berjaya ditahan terdiri daripada 11 lelaki dewasa, lapan perempuan dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan. Kesemua yang ditahan merupakan warganegara Filipina.
“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 36 Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” menurut kenyataan tersebut.
JIM Sabah menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi atau menggaji PATI.
“Orang ramai turut diseru menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin bagi membantu usaha penguatkuasaan,” jelas kenyataan itu lagi.