19 ditahan dalam operasi khas sindiket judi dalam talian di Bukit Bintang

Antara individu yang ditahan JIM dalam operasi bersepadu di sekitar Bukit Bintang

KUALA LUMPUR, 20 Januari -Seramai 19 individu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam sindiket perjudian dalam talian yang dikendalikan warga asing di sekitar Bukit Bintang, malam semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • 19 individu warga asing ditahan di Bukit Bintang hasil operasi khas selepas risikan sebulan.
  • Ditahan atas kesalahan imigresen kerana tiada dokumen sah dan tinggal melebihi masa.
  • Peralatan rampasan termasuk 59 tablet, monitor, dekoder CCTV dan sebuah CCTV WiFi.
  • Sindiket sasar warga asing dengan pelaburan kecil kononnya pulangan tinggi, guna kawalan keselamatan ketat.

Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), operasi khas bersepadu itu dijalankan pada pukul 10.30 malam di beberapa lokasi tumpuan termasuk Jalan Alor, Jalan Changkat dan Jalan Bedara

Ia hasil risikan selama sebulan selepas beberapa premis dikenal pasti berfungsi sebagai pusat operasi sindiket berkenaan.

“31 lelaki warga asing dan dua lelaki warga tempatan telah diperiksa. Daripada jumlah itu, 19 individu ditahan.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 12 lelaki warga Bangladesh, empat lelaki warga Myanmar dan tiga lelaki warga Indonesia, berusia antara 21 hingga 50 tahun,” menurut kenyataan berkenaan.

Kesemua individu yang ditahan disiasat bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal lebih masa di negara ini.

Dalam operasi sama, dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan turut diberikan Notis Kehadiran bagi membantu siasatan lanjut di Pejabat Imigresen.

JIM turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan sindiket itu, termasuk 59 unit tablet pelbagai jenama, tiga monitor, tiga unit dekoder kamera litar tertutup (CCTV) serta sebuah CCTV WiFi.

Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menyasarkan warga asing sebagai pelanggan utama.

“Modus operandi sindiket ialah menawarkan pelaburan kecil antara RM50 hingga RM500, kononnya dengan pulangan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat,” menurut JIM lagi.

Premis terbabit dipercayai beroperasi setiap hari dan lebih aktif pada waktu malam hingga awal pagi.

Malah, turut menggunakan kawalan keselamatan ketat termasuk melantik penjaga dikenali sebagai “Captain” serta sistem pengecaman wajah.

Sindiket itu juga dikesan berselindung di sebalik rumah sewa dan premis perniagaan kecil bagi mengaburi penguatkuasaan pihak berkuasa.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan