fb fb fb fb fb

Warga Singapura mengaku tidak bersalah, sebabkan kematian seorang remaja

L. Satish Kumar di Mahkamah Majistret Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 20 Jun- Seorang operator warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan memandu secara mabuk dan menyebabkan kematian seorang remaja, 16 Jun lepas. 

Tertuduh, L. Satish Kumar, 25 tahun, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret A. Shaarmini. 

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memandu dengan kandungan 173 miligram alkohol dalam badan, dan menyebabkan kematian Mohamad Hafizul Hafizzudin, 17 tahun. 

Kejadian berlaku pada pukul 12.15 tengah malam, di Kilometer 41, Jalan Gelang Patah - Pendas, Iskandar Puteri, Ahad lalu.

Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 44(1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Trafik, Inspektor S. Vikineswary manakala tertuduh diwakili peguam R. Sangaran. 

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 berserta syarat tambahan, lesen memandu digantung dan perlu melapor diri ke balai polis, setiap bulan. 

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Julai depan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI