fb fb fb fb fb

Lelaki cuba rasuah anggota polis RM18,000 dicekup

Antara minuman keras yang dirampas polis

JOHOR BAHRU, 20 Jun- Seorang lelaki ditahan polis selepas cuba memberi rasuah berjumlah RM18,000 kepada polis di Pasir Gudang, Johor, semalam.

Lelaki berusia 51 tahun itu ditahan pukul 2 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Mohd Sohaimi Ishak memaklumkan, rasuah sebagai dorongan untuk tidak mengenakan tindakan terhadap pekerja warga asing berumur 48 tahun, kerana memiliki arak dipercayai tidak bercukai.

Kesalahan dilakukan di sebuah kediaman di Taman Air Biru, melibatkan penemuan 60 kotak minuman keras dipercayai tidak bercukai, bernilai RM67,791 termasuk nilai cukai.

Semakan rekod mendapati suspek, yang merupakan majikan warga asing terbabit, mempunyai rekod lampau, bersabit kesalahan sama pada 2022, mengikut Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967.

Warga asing tersebut direman sehingga 24 Jun ini, untuk siasatan mengikut Seksyen 116 C Akta Kastam 1967.

Manakala majikannya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut, mengikut Seksyen 17 (B) Akta SPRM 2009.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE