KUALA TERENGGANU, 5 November- Seorang warga emas kerugian RM176,500 selepas diperdaya skim pelaburan tidak wujud dalam laman sosial facebook.
Mangsa yang juga ejen insurans telah melayari laman berkenaan, dan tertarik dengan skim pelaburan yang diiklankan Bank of China Investment (BOCI).
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa telah menghubungi suspek melalui aplikasi Whatsapp dan dijanjikan keuntungan 65 peratus daripada wang yang dilaburkan.
Teruja dengan keuntungan berkenaan, mangsa telah melakukan 10 kali pindahan wang ke empat akaun berlainan, bermula 10 September hingga 31 Oktober lepas.
Mangsa kemudiannya diberi keuntungan dalam sistem aplikasi group VIPDB3-BOCI Investment Club berjumlah RM2 juta.
Semua wang yang dilaburkan adalah hasil simpanan dan kad kredit milik mangsa.
Namun wang tersebut tidak boleh dikeluarkan dan pelbagai bayaran diminta dengan alasan untuk mengeluarkan wang terbabit secara tunai.
Merasakan diperdaya, mangsa telah membuat laporan polis, petang semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.