fb fb fb fb fb

Warga emas ditahan, cuba seludup petrol ke negara jiran

Foto KPDN Kedah

BUKIT KAYU HITAM, 29 Mei- Cubaan warga emas menyeludup minyak petrol bersubsidi ke negara jiran gagal selepas dia ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, lelaki berusia 70 tahun itu telah mengubah suai keretanya bagi tujuan penyeludupan tersebut.

Penahanan terhadap lelaki berkenaan dibuat ketika dia dalam perjalanan dari arah Bukit Kayu Hitam menuju ke negara jiran.
 
"Hasil pemeriksaan lanjut, menemukan tangki tambahan yang berisi 140 liter minyak petrol RON95 di bahagian bawah tempat duduk belakang.
 
"Pemandu kenderaan yang mengaku kenderaan tersebut miliknya telah ditahan untuk siasatan lanjut.
 
"Jumlah nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah lebih RM5,000," menurut kenyataan itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM