KOTA BHARU, 29 Mei- Sebanyak 914 saman dikeluarkan kepada warga asing atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Operasi Lejang Bersepadu bermula pada 21 hingga 27 Mei lepas di Kelantan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata antara kesalahannya kerana tidak memiliki lesen memandu dan mengubah suai kenderaan itu dikeluarkan kepada 282 warga asing.
Beliau berkata dalam operasi itu, 52 warga asing turut ditahan melibatkan 31 warga Rohingya, Indonesia (lapan), Pakistan (enam), Bangladesh (empat) dan masing-masing seorang warga India, Nepal dan Thailand.
“Operasi ini menumpukan kepada pemandu atau penunggang kenderaan dalam kalangan warga asing terutama penunggang motosikal roda tiga yang membawa muatan barangan lusuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan sebanyak 276 kenderaan disita termasuk 13 motosikal roda tiga dalam operasi dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan itu.
Muhamad Zaki turut mengingatkan pemilik kenderaan warga tempatan supaya tidak sewenang-wenang membenarkan kenderaan persendirian digunakan warga asing yang tidak memiliki lesen.