fb fb fb fb fb

Op Lima: 21 ahli kongsi gelap ditahan

Mohd Shuhaily Mohd Zain

KUALA LUMPUR, 29 Mei- Seramai 21 ahli kumpulan jenayah terancang daripada lima kumpulan kongsi gelap diberkas dalam serbuan Operasi Lima (Op Lima) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata mereka yang ditahan berumur antara 26 hingga 51 tahun.

Kesemuanya diberkas dalam serbuan di sekitar Johor, Pahang dan Selangor bermula 3 Mei lalu.

"Hasil siasatan mendedahkan bahawa mereka ini semua adalah ahli kongsi gelap daripada geng 08, 18, 21, 24 dan 36 yang bergiat aktif di beberapa kawasan di negeri Selangor.

"Mereka juga terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah, jenayah kekerasan seperti pembunuhan, pemerasan serta mendatangkan cedera dan juga khianat dengan api," katanya menerusi sidang media yang diadakan di sini.

Hasil sisasatan mendapati kesemua suspek yang ditahan mula bergiat aktif dari tahun 2019.

Operasi khas untuk mengesan saki baki ahli kumpulan itu masih diteruskan, manakala kesemua yang ditahan sedang dibawa ke Mahkamah Klang untuk dituduh di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan atas kesalahan jenayah terancang.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM