fb fb fb fb fb

Kastam rampas motosikal seludup, arak tanpa lesen bernilai RM1.35 juta

Pengarah JKDM Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad menunjukkan motor yang dirampas dalam serbuan di Nibong Tebal, Pulau Pinang, 13 Mei lalu pada sidang media JKDM di Pejabat JKDM di sini, hari ini.

IPOH, 29 Mei- Sebanyak 39 unit motosikal pelbagai model jenama SkyTeam bernilai RM1.01 juta dirampas dalam serbuan di sebuah gudang tayar di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada13 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata kesemua motosikal berkenaan disyaki sebagai barang belum lulus kastam.

Beliau berkata dalam serbuan sama, sejumlah 1325 liter minuman keras pelbagai jenama bernilai kira-kira RM350,000 turut dirampas.

“Hasil risikan mendapati motosikal yang diimport dari negara China dan masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Klang itu gagal mengemukakan sebarang dokumen, permit import dan sebagainya.

“Ini kali pertama kita lakukan serbuan dan mendapati, motosikal tersebut telah disimpan lebih tiga tahun di premis itu," katanya.

Abdul Ghafar berkata demikian dalam sidang media khas di Bangunan JKDM Perak di sini, hari ini.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun yang juga merupakan pemilik gudang telah di tahan bagi membantu siasatan. 

Abdul Ghafar memaklumkan kes melibatkan motosikal itu akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan boleh didakwa di bawah peruntukan sama yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 135 (1)(v) (aa).

Jelasnya, jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih tinggi atau dipenjarakan tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi kes melibatkan minuman keras pelbagai jenama, kes disiasat di bawah Seksyen 32 (1) Akta Eksais 1976 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 79 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

ZEHRA BINTI ZAMBRI