fb fb fb fb fb

Wanita warga emas ditemukan maut disyaki dibunuh

PDRM

IPOH, 14 Jun- Polis mengklasifikasikan kematian wanita warga emas yang ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di sebuah rumah di Taman Mujur Bercham, dekat sini pada Rabu lepas sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah, Penolong Pesuruhjaya Polis Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, hasil bedah siasat terhadap mangsa, 60, itu mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala dan leher disebabkan trauma objek tumpul.

"Tindakan itu berdasarkan laporan dikeluarkan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini sebaik bedah siasat selesai dijalankan sekitar pukul 9.15 pagi pada 13 Jun lepas.

"Siasatan kes pada awalnya dijalankan di bawah kematian mengejut telah diklasifikasikan semula atas kesalahan membunuh dengan niat," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Bertindak atas maklumat orang awam, seorang lelaki, 36, yang juga anak mangsa telah direman selama tiga hari sehingga 14 Jun ini bagi membantu siasatan lanjut.

Suspek didapati mempunyai 11 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah termasuk kes dadah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan dimohon untuk tampil memberi keterangan kepada pegawai penyiasat kes, Penolong Penguasa Polis Fadli Ahmad ditalian 019-2500019 atau mana-mana balai polis berhampiran.

SITI AISHAH MD ISA